Monday 4 April 2016

Hargai nikmat dapat bercakap


Jaga lidah satu amanah Allah yang paling sukar dijaga, walaupun dalam menyampaikan kebenaran dan ilmu. Jika dalam maksud kebaikan juga seringkali berlaku fitnah, inikan pula jika memang bernada fitnah. 

Nabi Muhammad memberi peringatan agar kita bercakap kena pada tempat dan betul pada masanya. Adakalanya kita bercakap mengenai sesuatu yang betul tetapi tidak kena pada tempat atau masanya. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Jangan kamu berbicara dengan sesuatu perkara yang tidak terjangkau oleh pemikiran sesuatu kaum kerana nescaya ia akan menimbulkan fitnah semata-mata.” (Hadis riwayat Muslim).

Oleh itu amat penting ketika bercakap mestilah timbul dari hati yang ikhlas dan rasa ketakwaan. Setiap patah perkataan yang diucapkan adalah tanggungjawab yang akan disol pada akhirat kelak.  Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.

Dalam hadis lain pula dikatakan tidak lurus (sempurna) iman seseorang yang tidak lurus pada lidahnya. Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya bermaksud: “Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehinggalah lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya.”

Keikhlasan memang amat penting.  Kita biasa mendengar istilah bodek, memuji-muji bukan sebenarnya. Situasi ini sering berlaku di pejabat. Pekerja yang kaki bodek sanggup mengiyakan atau memuji-muji pihak atasan, sedangkan itu bohong semata-mata.

Orang melakukan bodek bertujuan mengambil hati pihak atasan bagi tujuan mudah naik pangkat, diberi keistimewaan atau apa-apa yang dihajati. Dia memberi pujian bukan kepada orang yang berhak menerimanya. Sebaliknya orang yang tidak bersalah pula dikaitkan sama agar menampakkan kehebatan pujian itu. 

Amalan bodek ditegah dilakukan. Rasulullah pernah menyuruh agar orang yang suka membodek ditaburkan debu di mukanya. Dari Abu Hurairah katanya: “Kami disuruh oleh Rasulullah agar menaburkan debu tanah ke muka orang yang memuji-muji dan mengampu-ampu.” (Riwayat Ibnu Majah).

Amalan bodek menimbulkan pelbagai masalah dengan rakan sekerja yang lain. Tambah lagi jika melibatkan pula fitnah dan menyebarkan khabar angin mengenai rakan sekerja. Hal ini menyebabkan berlaku penindasan, pilih kasih dan tidak adil.

Allah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217 bermaksud: “Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan.”

Maka sebab itu ada pepatah menyebut lidah itu lebih tajam daripada pedang. Pedang yang disalahgunakan atau tidak dijaga dengan baik pasti mendatangkan bahaya kepada diri orang lain dan mungkin juga kepada pemiliknya. 

Sesiapa yang menjaga mulutnya, maka dia diberi balasan syurga. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah dalam sabdanya diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud: “Sesiapa memberi jaminan kepadaku apabila yang di antara dua tulang rahangnya (lidah) dan yang di antara dua kakinya (kemaluan), nescaya aku akan menjamin baginya syurga.”.

Jika seseorang berjaya mengawal mulutnya dijamin ke syurga, maka sebaliknya jika gagal mengawalnya. Seorang sahabat pernah menanyakan kepada Rasulullah apakah sebab terbesar seseorang masuk neraka, maka baginda menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Dua rongga badan iaiatu mulut dan kemaluan.” (Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibnu Majah). 

Jelaslah menjaga lidah itu amat penting dalam menjamin kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Mereka yang hidup dalam keadaan lidahnya hanya menyebut perkataan baik, dialah seorang yang bijak dan darjatnya tinggi di sisi Allah.

No comments:

Post a Comment