Monday, 8 June 2026

UNTUK MENAAKUL PERLUKAN PENGETAHUAN ASAS

 
Menaakul bermaksud menggunakan akal untuk membuat pertimbangan, menilai, atau menganalisis sesuatu situasi berdasarkan fakta dan logik. Ia adalah kemahiran berfikir (sering dikaitkan dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi - KBAT) untuk mencari sebab musabab, membina hujah, dan menyelesaikan masalah.

Menaakul dan mantik tidak membawa maksud yang sama tepat, tetapi kedua-duanya adalah konsep yang berkait rapat dalam proses pemikiran logik.

Sebenarnya, menaakul bukan sekadar menggunakan akal berasaskan lojik, tetapi juga perlu kepada pengetahuan dan pengalaman dalam hal berkaitan.

Cuba lihat gambar. Pokok mempelam atau pauh yang banyak mengeluarkan pucuk muda tanpa pokok subur dan terus membesar.

Pucuk atau daun muda pauh berwarna "bata" yang sekali pandang macam warna coklat. Warna tersebut seakan-akan daun perang yang tidak sihat atau hendak gugur.

Maka, ada seorang pemuda menaakulkan bahawa daun itu sudah mati, termasuk bahagian ranting di mana daun itu tumbuh. Maka, pemuda itu ingin memotong bahagian ranting yang dianggap sudah mati itu.

Jauh sekali tersasar hasil menaakul itu. Pokok yang sihat dan membesar dengan baik dikatakan bermasalah dan akan mati. 

Kegagalan pemuda itu menaakul dengan tepat kerana mungkin dia tidak mempunyai asas mengenai daun muda pauh. Mungkin juga dia tidak melihatnya dari dekat. Atau dia sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai daun pauh.

Maka, sebenarnya dalam apa juga keadaan, pengalaman dan pengetahuan asas mengenai sesuatu perkara amat penting untuk proses menaakul, bukan sekadar membuat pertimbangan atau berpikir lojik semata-mata.

No comments:

Post a Comment