Friday 26 April 2024

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN BAKAT 8 BRIGED TAHUN 2024

 
Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Briged Kelapan Infantri (8 Briged) telah melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan BAKAT 8 Briged pada 20 April 2024 bertempat di Bilik Mesyuarat Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa.
 
Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh Brigedier Jeneral Muzamil Ali, Panglima 8 Briged selaku Penaung BAKAT 8 Briged. Seterusnya mesyuarat telah dipengerusikan oleh Noor Azizah Ab Aziz selaku Pengerusi BAKAT 8 Briged. Turut hadir dalam mesyuarat adalah Pegawai Memerintah/Pemerintah, Pengerusi BAKAT, Penasihat BAKAT dan Pegawai Kerja BAKAT pasukan bawah naungan 8 Briged.
 
Dalam ucapan perasmiannya, Penaung BAKAT 8 Briged menekankan bahawa kejayaan seorang lelaki adalah kerana berdiri teguh seorang isteri yang berada seiring dengannya.
 
Justeru, beliau menyeru supaya ahli BAKAT sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada suami masing-masing dalam perkhidmatan.
 
Mesyuarat telah membincangkan perkara-perkara berbangkit daripada Minit Mesyuarat Agung Tahunan BAKAT 8 Briged Tahun 2023, Takwim BAKAT 2 Divisyen dan Takwim BAKAT 8 Briged, pelantikan pasukan penganjur bagi aktiviti BAKAT 8 Briged serta taklimat laporan aktiviti tahunan dan kewangan tahun 2023 daripada pasukan naungan 8 Briged.
 
Bagi mengakhiri mesyuarat, Pengerusi BAKAT 8 Briged telah berpesan supaya semua pasukan untuk bekerjasama dan memberi komitmen yang berterusan bagi melancarkan aktiviti yang telah dijadualkan sekaligus dapat menaikkan lagi imej organisasi BAKAT 8 Briged.
 
Beliau juga telah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam melaksanakan dan menjayakan pelbagai aktiviti BAKAT yang dianjurkan.
 
Mesyuarat telah ditangguhkan pada jam 1243 dan semua ahli mesyuarat telah dijemput untuk menghadiri jamuan makan tengah hari yang disediakan di Wisma Perwira 8 Briged.
 
Kredit: Markas 8 Briged