Kemelut hubungan sesama manusia timbul
apabila lahirnya sikap angkuh, mementingkan diri sendiri dan tidak menerima
tolak ansur dengan pihak lain. Lanjutan itu, mudah timbul sikap prasangka
buruk, fitnah dan perbuatan ekstrim.
Sikap inilah yang membawa bencana kepada
umat Islam mutakhir ini. Sikap berbalah sehingga berbunuh-bunuhan sesama
sendiri berlaku disebabkan tidak wujud perpaduan. Keadaan itu memberi
keuntungan kepada musuh-musuh Islam yang terus menjadikan umat Islam sebagai
kuda tunggangan mereka dengan pertolongan umat Islam sendiri.
Lihatlah apa yang berlaku di beberapa
negara umat Islam. Mereka bukan berperang atau menentang musuh yang sepatutnya
dihalau dari tanah air mereka, tetapi bermusuhan sesama sendiri.
Sampai bila-bilapun masalah yang melanda
umat Islam tidak akan dapat diselesaikan jika tidak wujud perpaduan. Semakin
lama keadaan menjadi semakin lemah. Pihak yang mendapat untung ialah
musuh-musuh Islam.
Islam adalah addin yang amat mementingkan
konsep perpaduan untuk mencapai sesuatu kejayaan bersama. Kehidupan ini perlu
diasaskan kepada matlamat kejayaan bersama. Pun begitu, setiap orang mendapat
rezeki atau habuan yang berbeza-beza.
Sebab itu, sifat hasad dengki dan mementingkan
diri sendiri perlu dijauhkan daripada menjadi amalan hidup. Sebaliknya, perkara
utama yang perlu dilakukan ialah melakukan perkongsian usaha dan berpadu untuk
kepentingan bersama.
Berkongsi itu lebih baik daripada
masing-masing terlepas peluang. Sikap tamak lebih banyak mendatangkan
keburukan. Sikap tamak perlu dijauhkan agar tidak menjadi penghalang kepada
perasaan kasih sayang dan tolong menolong.
Perintah agar mengutamakan perpaduan dan
amalan yang mempunyai hubungkait dengannya banyak disebut dalam al-Quran dan
hadis. Ia satu perkara yang tidak boleh dipandang mudah kerana turut melibat
dosa dan pahala bagi setiap amalan yang dilakukan.
Perihal betapa pentingnya mengamalkan
perpaduan, Rasulullah mengumpamakan hubungan sesama Muslim seperti satu badan.
Apabila satu bahagian badan merasa sakit, maka kesakitan itu dirasakan oleh
seluruh anggota badan.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Perumpamaan
kaum Muslim dalam urusan kasih sayang dan tolong menolong bagaikan satu tubuh.
Jika satu anggota badan berasa sakit, maka akan menjalarlah penderitaan itu ke
seluruh tubuh badan sehingga tidak dapat tidur (berjaga malam) dan berasa
deman.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Manakala dalam satu ayat al-Quran
menjelaskan bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Sebab
itu, hak-hak yang berkaitan dengan saudara perlu ditunaikan bagi membentuk
perpaduan yang kukuh.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya
setiap orang Islam itu adalah bersaudara.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Cuba perhatikan bagaimana kejayaan umat
Islam di bawah pimpinan Rasulullah membina kerajaan Islam di Madinah. Perkara
utama yang tekankan oleh Rasulullah ialah maufakat dan perpaduan seluruh umat
Islam tanpa mengira asal keturunan.
Seluruh puak atau suku di Madinah bersatu
di bawah satu panji-panji Islam dan sanggup mengorbankan kepentingan diri
sendiri demi agama. Perpaduan yang ditunjukkan sehingga tidak ada ruang
langsung untuk unsur negatif menyelinap masuk memusnahkan kekuatan yang dibina.
Keyakinan betapa pentingnya berpadu untuk
kebaikan semua, terbukti dengan gambaran semangat persaudaran antara Muhajirin
dan Ansar yang dicatatkan sebagai terbaik pernah dibentuk dalam sejarah hidup
manusia.
Pengkaji sosial mengakui tidak ada
masyarakat daripada dua kelompok yang berbeza dapat berpadu sedemikian rupa
dalam tempoh masa yang singkat sepertimana yang ditunjukkan oleh kaum Muhajirin
dan Ansar.
Hasil itulah mengapa dalam tempoh masa yang
singkat umat Islam mampu berkembang dan diterima bukan saja di kalangan
penduduk Madinah, bahkan orang dari seluruh Semenanjung Arab, Utara Afrika dan
Pasri, serta dikembangkan ke seluruh dunia dalam tempoh masa yang singkat.
Peranan setiap Muslim menentukan kekuatan
bagaikan sebahagian daripada bahan binaan sebuah bangunan, yakni saling
memperkuatkan satu sama lain. Satu bangunan yang kukuh tidak dapat berdiri
dengan kukuh dengan hanya bergantung kepada satu bahan binaan sahaja.
Biarpun apapun jenis bahan itu dan di mana
letaknya, tetap memberi peranan yang besar dalam menentukan kekuatan
keseluruhan bangunan berkenaan. Jika satu bahagian rosak, maka robohlah
keseluruhan bangunan itu.
Sebab itu, jika ada saudara seagama
memerlukan bantuan hendaklah ditunaikan segera. Jika bantuan tidak disampaikan,
musibah yang dialami itu akan merebak di kalangan kita sendiri. Menolong sesama
Muslim diumpamakan seperti membantu diri sendiri dan untuk kebaikan semua.
No comments:
Post a Comment