Thursday, 31 December 2020

RAGAM BAHASA BERBEZA MENGIKUT SITUASI

Ragam bahasa atau gaya bahasa bermaksud variasi bentuk-bentuk bahasa yang digunakan bagi maksud yang sama berdasarkan situasi tertentu. Ragam bahasa merupakan pengkajian terhadap ciri-ciri bahasa yang berbeza apabila kita membandingkan kumpulan penutur berbeza atau suatu kumpulan penutur yang sama dalam keadaan yang berbeza.

Terdapat dua jenis ragam bahasa, iaitu bahasa formal dan bahasa tidak formal.

Keseragaman bahasa berkaitan dengan standard bahasa yang digunakan. Bahasa baku ialah satu jenis bahasa yang menggambarkan keseragaman dalam bentuk dan fungsi bahasa. Ia dikatakan sebagai "loghat yang paling betul" bagi sesuatu bahasa.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ragam bermaksud 1. tingkah, cara, laku, olah 2. jenis, macam 3. lagu, langgam 4. corak, ragi, warna.

Oleh itu, banyak ragam boleh bermaksud banyak cara, banyak jenis, banyak corak dan sebagainya bergantung pada konteks penggunaannya.

Sementara itu, dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu, Zaaba membahagikan ragam bahasa kepada dua bahagian, iaitu gaya cakap mulut dan gaya surat.

Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ragam bahasa dibahagikan kepada tajuk-tajuk berikut:
- Ragam bahasa lisan
- Ragam bahasa Melayu tulisan
- Bahasa-bahasa daerah
- Laras-laras bahasa Melayu moden.

Aspek ini lebih menekankan kepelbagaian daerah atau kawasan bagi bahasa yang sama dan bukannya perbandingan ciri-ciri antara dua bahasa.

Bahasa ialah kepunyaan masyarakat yang menuturkannya. Makin besar jumlah penuturnya, makin luas kawasan penyebaran bahasa itu, dan makin banyak pula perbezaan yang wujud dari segi penggunaannya.

Tidak ada bahasa manusia yang tetap, seragam mahupun tidak berubah-ubah. Semua bahasa manusia menunjukkan kelainan dalaman. Penggunaan sebenar berbeza antara satu kelompok dengan kelompok yang lain, dan antara satu penutur dengan penutur lain, dari segi sebutan sesuatu bahasa, pilihan kata, dan makna kata-kata tersebut, malah dari segi pemilihan penggunaan ayat khususnya dalam menyampaikan sesuatu hasrat atau mesej atau untuk menyatakan tujuan-tujuan tertentu.

Pendek kata, wujud pelbagai keragaman dalam berbahasa.

Buku ‘Ilmu Mengarang Melayu’ karya Pendita Zaaba yang diterbitkan pada tahun 1965, menitipkan bahawa terdapat sejumlah lima belas ragam bahasa.

Dinyatakan di sini keragaman tersebut iaitu:
- Bahasa Sindiran
- Bahasa Menggiat
- Bahasa Mengejek
- Bahasa Terbalik
- Bahasa Merajuk
- Bahasa Tempelak
- Bahasa Herdik
- Bahasa Melampau
- Bahasa Merendah
- Bahasa Naik
- Bahasa Seruan atau Mengeluh
- Bahasa Berulang
- Bahasa Bertimbal
- Bahasa Bukan
- Bahasa Bahasa Jenaka

Selain daripada yang dinyatakan, terdapat juga pelbagai nama lain untuk ragam bahasa ini. 

No comments:

Post a Comment