Wednesday, 28 October 2020

SEJARAH PENUBUHAN PAS


Pas ditubuh Ahmad Fuad Hassan. Sebelum memimpin Pas, Ahmad Fuad seorang guru agama lepasan Maahad Ihya Assyariff, Gunung Semanggol. Pada 1950, dia menyertai UMNO dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO.

Pada masa yang sama beliau adalah merupakan Pengerusi Badan Agama UMNO. Tulisan beliau dalam Suara UMNO yang bertajuk “Ulama Malaya Belum Bersatu & Belum Mempunyai Organisasi” telah menarik perhatian umum.

Atas inisiatif beliau, akhirnya pada 15 Ogos 1951, satu persidangan ulama telah berjaya diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan tuntutan tersebut serta merangka perlembagaannya.

Seterusnya pada 24 November 1951, Muktamar Ulama Kali Ke-3 telah di adakan di Seberang Prai (Bangunan UMNO Bagan) dan persidangan ini telah berjaya menubuhkan Persatuan Ulama Se-Malaya dan seterusnya ditukarkan kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) atas persetujuan ramai.

Menjelang persidangan tersebut, UMNO sedang bergolak menghadapi krisis kepimpinan dan perpecahan mengenai isu kewarganegaraan dan penyertaan orang bukan Melayu di dalam UMNO yang dicadangkan oleh Datuk Onn Jaafar.

Datuk Onn telah mengambil jalan dengan keluar daripada UMNO apabila gagasan yang dicadangkannya itu telah ditolak oleh UMNO.

Ahmad Fuad telah dicalonkan sebagai Yang Dipertua Agung UMNO bagi menentang Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Sungguhpun kecenderungan masyarakat pada masa itu ada bersama-sama Islam, namun kepimpinan UMNO dapat kepada Tunku Abdul Rahman. 

Penubuhan Pas yang dipimpin Ahmad Fuad telah mendapat sokongan daripada rakyat khasnya masyarakat Melayu ketika itu.

Majalah Qalam yang diterbitkan di Singapura ketika itu telah menyuarakan harapan agar Pas dapat mempertahankan hak dan kemuliaan agama sama ada dalam perkara siasah/politik mahupun hal ehwal umum. 

A.Samad Said dalam satu tulisannya pernah menyebut bahawa penubuhan Pas pada tahun 1951 adalah agak menarik.

Pertama kata A.Samad Said, Pas berjaya ditubuhkan walaupun suasana negara ketika itu sedang dilanda pergolakan dan gelora darurat. Keduanya, penubuhan Pas ketika itu telah direstui sendiri oleh UMNO. Akhbar-akhbar terkemuka ketika itu juga turut mengalu-alukan penubuhan Pas.

Bagaimanapun, berlaku perdebatan mengenai baik buruknya golongan ulama menubuhkan sebuah parti politik Islam daripada hanya sekadar menubuhkan sebuah pertubuhan yang terkhusus kepada golongan ulama sahaja.

Fikiran umum ketika itu lebih cenderung mendorong ulama menubuhkan sebuah parti Islam yang bercorak politik dalam mengisi kekosongan untuk menuntut kemerdekaan negara.

Di bawah kepimpinan Ahmad Fuad, Pas telah mula berkembang. Terdapat beberapa cawangan Pas berjaya ditubuhkan, antaranya cawangan pertama, iaitu Butterworth pada 9 Mac 1952, Kuala Kangsar (10 April 1952), Perlis (2 Mei 1952), Kerian (6 Julai 1952) dan Kuala Lumpur – Selangor (13 Julai 1952).

Sehingga Disember 1952, Pas telah berjaya menubuhkan 16 buah cawangan di seluruh Malaya dan Singapura. 

Cawangan pertama Pas di kawasan Pantai Timur telah ditubuhkan Amaluddin Darus dan Ahmad Yatim pada 23 Julai 1953 iaitu cawangan Pas di Pasir Mas. 

PAS didaftarkan sebagai parti politik pada 31 Mei 1955 dengan Registration No. 733 (Penang), dengan menggunakan alamat pendaftarannya di Madrasah Daeratul Ma’arif al-Wathaniyah, milik Syeikh Abdullah Fahim.

Baca juga;

No comments:

Post a Comment