Saturday, 18 November 2023

JAGA LIDAH DAPAT ELAK DIRI MASUK NERAKA

 
Gabungan lidah, rongga mulut dan olahan nafas dari kerongkong melahirkan perkataan dan nada suara sebagai bahasa pertuturan ketika berkomunikasi. Pertuturan adalah cara berkomunikasi paling mudah berbanding menggunakan bahasa isyarat. 
 
Individu tidak mampu bercakap dianggap cacat, biarpun nampak secara fizikal dia normal. Dia terpaksa berkomunikasi secara bahasa isyarat yang tidak semua orang memahaminya. Betapa sukar golongan bisu untuk berkomunikasi. 
 
Justeru, orang yang sempurna kemampuan lidahnya perlu bersyukur dan melahirkan suara yang enak didengar dan memberi manfaat. Antara cara menunjukkan rasa bersyukur atas nikmat lidah ialah sentiasa mengucapkan perkataan yang baik dan menjauhkan mengeluarkan kata-kata tidak enak didengar.
 
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata dan lidah serta dua bibir, dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhinya).” (Surah al-Balad, ayat 8-10).
 
Sesungguhnya, semua anugerah Allah SWT mesti digunakan untuk kebaikan. Manusia perlu menggunakan akal yang berlandaskan kebenaran untuk menjaga nikmat yang Allah SWT kurniakan agar tidak cenderung melakukan perbuatan yang ditegah.
 
Sesungguhnya, banyak individu yang tidak menjaga lidahnya. Perbuatan mengumpat, menfitnah, mengadu domba, kata-kata keji, menipu, sumpah bohong dan sebagainya adalah lahir dari lidah yang berniat busuk.
 
Banyak kesan buruk akibat lidah yang celupar. Kata orang “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana”. Sebab itulah, besar faedahnya sesiapa mampu menjaga lidahnya daripada memperkatakan yang tidak baik.      
 
Sesungguhnya, Islam amat prihatin terhadap cara bercakap agar tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Setiap perkataan yang dikeluarkan dari mulut melibatkan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah. 
 
Antara anggota paling banyak terdedah melakukan maksiat ialah lidah. Seseorang yang dapat menjaga lidahnya daripada perbuatan jahat dan maksiat, Rasulullah SAW menjamin bahawa dia akan masuk syurga. Setiap patah perkataan yang dituturkan oleh lidah akan dipersoalkan Allah SWT. Ramai manusia yang dihumbankan ke neraka akibat dosa-dosa lidahnya.
 
Nabi SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.” (Hadis riwayat Tirmizi)

No comments:

Post a Comment