Kehidupan dibatasi hukum agama, undang-undang
negara, adat dan nilai-nilai moral. Kita dan sesiapa sahaja tidak boleh
bertindak bebas untuk melakukan apa yang diingini tanpa mengambil kira perkara
membatasinya. Lebih-lebih lagi di negara kita yang mempunyai pelbagai kaum dan
agama anutan.
Namun, semakin banyak individu dan golongan yang ingin menegakkan amalan nihilisme. Fahaman nihilisme mengatakan bahawa dunia ini dan kehidupannya tidak mempunyai apa-apa makna. Maka, manusia boleh melakukan apa diingini tanpa terikat dengan sistem moral dan undang-undang. Mereka memperjuangkan kebebasan tanpa batasan dan tidak peduli tentang pendangan serta keperluan pihak lain.
Ada juga yang kononnya memperjuangkan agama, tetapi banyak tindakan yang dilakukan bertentangan dengan tuntutan agama. Menyebarkan fitnah dan menyalahkan pihak lawan sedangkan ia tidak benar. Malah, perkara sama pernah dilakukan ketika berkuasa, tetapi menyalahkan pihak lain yang turut melakukan perkara sama.
Nihilisme adalah sebuah pandangan falsafah yang dikaitkan dengan Friedrich Nietzche (mati 1900), seorang warganegara Jerman.
Memandangkan golongan nihilisme melihat dunia ini 'tiada' apa-apa, maka mereka menolak wujudnya pencipta, tidak ada panduan agama atau peradaban yang perlu dipatuhi, hidup adalah seperti mana yang dikehendaki. Lalu, mereka bebas untuk melakukan apa saja mengikut kehendak hati atau bersesuaian dengan keadaan semasa.
Mereka juga beranggapan, jika ada pihak yang mengatakan adanya nilai moral yang perlu dipatuhi atau diikuti, maka itu adalah abstrak. Perkara yang kabur dan boleh berubah-ubah. Ini berdasarkan keyakinan bahawa setiap perkara yang diketahui atau ingin dilakukan tidak bertentangan dengan apa yang sedia ada.
Dengan kata lain, golongan ini tidak sekali-kali menerima pandangan pihak lain, kerana merasakan apa yang dilakukan itu sebenarnya telah sama atau mengikuti apa yang pihak lain inginkan, sedangkan hakikat sebenarnya ia adalah bertentangan sama sekali.
Istilah nihilisme pertama kali dicetuskan Ivan Turgenev dan diperkembangkan ke dalam dunia falsafah oleh Friedrich Heinrich Jacobi (1743-1819). Fahaman ini juga sama dengan amalan dipelopori Niccalo Machiavelli (1469-1527) iaitu matlamat boleh menghalalkan cara.
Kaedah matlamat menghalalkan cara kerap dikaitkan dengan cetusan oleh Machiavelli di dalam karyanya mengenai pentadbiran negara, 'The Prince', bahawa kesesuaian sepatutnya menjadi asas suatu tindakan.
Ini dapat dilihat dari ungkapannya, “dalam tindakan setiap manusia kita mesti melihat kepada penyudahnya (matlamat yang ingin dicapai). Jadi biarlah seorang raja mendapat kemenangan dan mempertahankan negaranya, maka semua kaedah yang diambilnya akan sentiasa dianggap berbaloi." Inilah kaedah digunakan mereka yang melatakkan matlamat menghalalkan cara.
Secara ringkasnya, kaedah ini bermaksud, seseorang itu boleh melakukan apa sahaja atau mengambil apa jua cara (walaupun salah) demi untuk mencapai matlamat atau tujuannya. Ini adalah kerana yang penting atau yang diambil kira ialah matlamat, yakni tercapainya matlamat, walau dengan apa cara sekalipun.
Maka dalam keadaan politik sekarang, sikap sesetengah pihak yang menabur janji dan menuduh pihak lain melakukan kesalahan tanpa pembuktian nyata juga sebahagian resapan nihilisme. Begitu, juga perkara yang nyata bertentangan dengan ajaran agama juga perlu diiktiraf sebagai betul asalkan demi memenuhi kelompok tertentu yang menjadi penyokong mereka.
Nihilisme yang tidak bersandarkan kepada batasan agama seolah-olah menolak agama. Sesiapa yang menolak apa yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis sebenarnya dikira keluar Islam atau kafir. Paling tidak pun mereka ini dikira melakukan dosa besar dan perlu bertaubat.
Namun individu dan kelompok tertentu seakan-akan tidak takut kepada cemuhan dan penentangan pihak lain kerana berasa 'selamat' ada pihak yang selari dengan fahaman mereka. Pemikiran liberal menjadi sebahagian pendokong nihilisme.
Demi mendapat sokongan bukan Islam, terdapat pemimpin Islam menggadaikan maruah diri dan kedudukan Islam. Mereka menyokong sesuatu tindakan atau permintaan kelompok yang bertentangan dengan kehendak Islam demi untuk mencapai matlamat yang diingini
No comments:
Post a Comment