Terdapat ibu bapa membiarkan anak bermain
air hujan dengan alasan kawasan sekitar rumah mereka tidak ditegelami air atau
kedalaman airnya hanya cetek yang tidak mungkin akan menyebabkan anak mereka
lemas.
Pendapat mereka itu memang tetap, tetapi
lupa beberapa perkara lain. Pertamanya, kedalaman air di sesuatu kawasan tidak
sama. Kawasan di hadapan rumah mungkin memang cetek yang tidak mendatangkan
apa-apa bahaya.
Tetapi, di tempat yang jauh sedikit
daripada laman rumah mungkin ada kawasan yang kedalaman airnya lebih dalam
seperti dalam parit, paya atau lubang yang digali. Hujan lebat menyebabkan
kawasan tersebut cepat dipenuhi air dan aliran air yang deras.
Di sesetengah kawasan, hujan lebat beberapa
jam telah menyebabkan banjir kilat yang boleh mendatangkan bahaya kepada
kanak-kanak.
Anak yang dibiarkan babas bermain mungkin
akan pergi ke tempat berbahaya itu jika tidak dikawal atau dilarang. Mereka
memang sukakan tempat airnya lebih dalam atau lebih banyak.
Kanak-kanak ke tempat itu mungkin bukan
untuk mandi atau bermain, tetapi hanya sekadar tengok-tengok dan seronoh
melihat sesuatu yang berlainan daripada masa biasa.
Tidak mandi manda bukan jaminan tidak
menjadi mangsa lemas. Banyak kes kanak-kanak mati lemas terjatuh ke dalam
parit, longkang atau tali air. Kehadiran mereka sekadar mengikut abang atau kakak.
Dengan kata lain, kemalangan seperti itu
dapat dielakkan daripada berlaku sekiranya ibu bapa melarang anak-anak mereka
pergi ke tempat itu tanpa kawalan. Perlu ditekankan bahawa larangan bukan
setakat jangan main air, tetapi jangan keluar rumah.
Anak akan memahami atau mematuhi larangan
itu jika dijelaskan kepada mereka bahaya akibat perbuatan itu. Penjelasan itu
menjadi peringatan dan pengajaran untuk mereka pada masa akan datang.
Larangan bermain air hujan bukan sekadar
kepada kanak-kanak tidak pandai berenang sahaja. Kanak-kanak yang pandai
berenang juga mesti dilarang daripada bermain air hujan. Pandai berenang bukan
bermakna tidak mungkin lemas. Banyak mangsa mati lemas adalah mereka yang
pandai berenang.
Kemalangan ini berlaku disebabkan kurang
berhati-hati apabila terlalu bergembira bermain air. Tambahan, mereka terlalu
yakin dengan kebolehan berenang. Mereka melakukan aksi terjun dari tempat
tinggi atau aksi berbahaya yang kononnya memberi lebih kepuasan.
Mereka lupa kemungkinan bahaya yang boleh
berlaku pada waktu itu. Walaupun pandai berenang, adalah sukar untuk menyelamatkan
diri jika keadaan air terlalu deras atau berlaku sesuatu yang tidak diduga
seperti kejang otot, gagal mengawal diri, digigit binatang berbisa yang biasa
berlaku pada musim hujan dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment