Kuala Sepetang atau dahulunya Port Weld
yang terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Taiping, pengeluar arang kayu
bakau tertua di Malaysia. Bertapak sejak 1930, arang kayu bakau yang dihasilkan
di situ terkenal dengan kualitinya yang tinggi. Ia bukan sahaja mendapat
permintaan di Perak, bahkan dieksport ke luar negara seperti ke Jepun, Arab dan
Korea.
Pada harga kilang RM10 bagi setiap tiga kilogram, pembuatan arang kayu sebenarnya bukanlah sesuatu yang mudah. Selain menggunakan banyak kudrat, kotor dan berbahaya, prosesnya mengambil masa yang lama, iaitu lebih sebulan.
Selain menjadi bahan bakar, arang juga digunakan di dalam industri pembuatan barangan kosmetik, bahan pencuci, baja, ubat nyamuk dan batang cerucuk.
Perusahaan arang dari pokok bakau kurap (Rhizophora mucronata) dan bakau minyak (Rhiziphora Apiculato) memerlukan masa sekurang-kurangnya 30 tahun untuk ditebang bagi mendapatkan hasil kayu arang berkualiti. Bagi memastikan kelestarian sumber, pengeluaran arang dikawal oleh Jabatan Perhutanan Perak dengan had tertentu bagi penebangan hutan bakau.
Proses menghasilkan arang memerlukan kepakaran tenaga kerja yang rumit, unik dan mencabar. Bermula dengan tugas mencabar menabang pokok kayu bakau, memotong dan membawanya menggunakan perahu atau bot ke kilang memproses arang yang terletak di tepi sungai.
Terdapat 120 syarikat beroperasi dengan sebahagian besarnya adalah milik keluarga dan kini rata-rata diuruskan oleh generasi ketiga.
Kilang-kilang terbabit yang lebih kepada bangsal, dengan sebahagiannya berdindingkan papan usang kehitaman.
Peringkat awal bermula dengan memasukkan kayu bakau dan disusun berdiri di dalam relau yang dipanggil dapur atau gok. Proses seterusnya ialah pembakaran api besar dan api kecil selama 20 hari sebelum dapur berbentuk iglu itu ditutup sepenuhnya selama 10 hari lagi untuk proses penyejukan.
Proses pembakaran arang perlu dikawal 24 jam sehari bagi memastikan tiada kebocoran pada dinding relau. Jika ada kebocoran yang tidak disedari, kayu yang ada di dalam relau boleh terbakar sehingga menjadi abu dan boleh mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.
Seterusnya proses penyejukan juga merupakan masa paling kritikal dan memerlukan pengawalan rapi untuk memastikan arang di dalam relau tidak terbakar menjadi abu.
Untuk menghasilkan arang kayu berkualiti tinggi, paling penting ialah dapur atau gok. Struktur berbentuk iglu ini diperbuat daripada 26,000 blok bata yang dilekat dengan tanah lumpur. Untuk membina gok tidak boleh gunakan simen, kerana simen mudah retak di bawah tekanan suhu tinggi hingga 250 darjah Celsius.
Struktur dapur juga perlu berbentuk iglu bagi memastikan agihan haba yang sekata dan kayu bakau "dimasak" mengikut suhu yang tepat. Proses membakar kayu bakar menyebabkan ia kehilang berat sehingga 80 peratus daripada berat asal ketika masih dalam keadaan asal.
Pengusaha diberikan permit menebang pokok bakau yang ditanam di atas tanah kerajaan seluas 40,000 hektar di sepanjang pantai, dan mereka juga bertanggungjawab menanam semula bagi menggantikan pokok bakau yang ditebang.
Produk arang dikenali sebagai "emas hitam" yang sesuai dijadikan cenderamata. Ia dipanggil emas hitam kerana mempunyai permukaan yang licin dan berkilat.
Kita juga ada beg arang nyahbau, sabun berasaskan arang, berus gigi, syampu merawat kegatalan rambut, dan antara produk paling laris ialah cuka kayu.
Cuka kayu ini kita peroleh daripada wap air yang terhasil semasa pembakaran kayu bakau dan produk ini kita keluarkan dalam bentuk semburan untuk halau nyamuk, antiradang dan lain-lain lagi.
No comments:
Post a Comment