Islam dibina atas asas akidah yang
benar kepada Allah, serta pengabdian diri kepada-Nya. Hakikat ini bertepatan
dengan tujuan penciptaan manusia.
Firman Allah dalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: "Dan Aku
tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri
kepda-Ku."
Sesuatu yang berkaitan dengan hukum-hukum
Islam dinamakan syariah. Oleh itu, perlaksanaan syariat Islam adalah sebahagian
daripada asas keimanan dan tuntutan tauhid.
Justeru setiap perbuatan manusia
diberikan pembalasan baik dan buruk, sesuai dengan tahap-tahap pembalasan yang
telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.
Keimanan kepada Allah adalah asas
utama akidah Islam. Percaya adanya Allah dan kekuasan-Nya menjadi teras
untuk manusia mengikuti syariah agama.
Mana mungkin seseorang itu mematuhi
sesuatu peraturan yang ditetapkan, sedangkan dia tidak mengenali dan tahu yang
berkuasa menetapkan peraturan itu.
Sesungguhnya, bagi manusia
berfikiran waras tidak sukar untuk menerima kewujudan dan kekuasan Allah.
Perhatikan alam semesta itu yang cukup kompleks penciptaannya. Semua ini
tentu dicipta oleh Maha Berkuasa, termasuklah mencipta manusia.
Firman Allah dalam surah Ibrahim
ayat 10 bermaksud: "Patukkah berlaku sebarang syak tentang wujudnya Allah,
Tuhan yang mencipta langit dan bumi."
Bumi dan seluruh isinya telah
berusia berjuta-juta tahun. Namun, sistem peredaran dan aktiviti alam berjalan
dengan teratur.
Hal ini membuktikan ia hanya
ditadbir dan diuruskan oleh satu kuasa tanpa berkongsi. Tiada pihak lain perlu
diambil pandangan atau bantuan untuk menguruskan perjalanan dunia ini.
Perkara ini dijelaskan melalui
firman yang bermaksud: "Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang
lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah
kamu kepada Allah yang menegaskan: Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy
dari apa yang mereka sifatkan," - (Surah al-Anbia, ayat 22)
Berdasarkan dalil al-Quran, hadis
dan akal lojik, tiada syak lagi di sebalik penciptaan alam semesta ini adanya
Maha Pencipta iaitu Allah.
Sebagai penguasa, Allah berhak
menentukan apa yang perlu dilakukan oleh hamba-Nya. Satu-satunya syariat yang
diterima di sisi Allah adalah Islam. Sesiapa yang memilih selain Islam
sebagai cara hidup, maka dia ingkar pada perintah Maha Berkuasa.
Pengakuan mengesakan Allah
dilaksanakan melalui konsep keimanan dan konsep ketaatan.
No comments:
Post a Comment