Sunday, 3 April 2016

Manfaat anugerah pendengaran

Anugerah pendengaran amat besar ertinya bagi setiap manusia. Tanpa pendengaran, banyak perkara tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Bahkan, disebabkan masalah pendengaran timbul pula satu lagi masalah pancaindera iaitu bisu. Majoriti mereka berdepan masalah pendengaran jika akan menjadi bisu. 

Sebab itu, mereka yang sempurna pendengarannya haruslah bersyukur. Gunakan anugerah Allah SWT itu dengan sebaik-baiknya. Jadikan pendengaran dioptimumkan dengan sumber yang boleh mendekatkan kita kepada Allah SWT. 

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)." (Surah al-Baqarah, ayat 152). 

Sepertimana pancaindera lain, pendengaran juga sering digunakan untuk perkara buruk. Ini dilakukan oleh mereka yang tidak bersyukur. Mereka menganggap anugerah itu sekadar satu perkara biasa yang ada pada mereka yang dilahirkan sempurna sifatnya. 

Seharusnya kita pergunakan ia untuk dimanfaatkan pada agama seperti mempelajari tafsir al Quran dan ilmu-ilmu yang bermanfaat bagi kehidupan kita di dunia ini. Bukannya, kita gunakan ia untuk mendengar umpatan, aib dan caci maki, dan fitnah orang lain. 

Jelas sekali masih banyak manusia tidak menggunakan telinga untuk mendengar apa yang sepatutnya tetapi lebih berminat memasukkan bahan yang kebanyakannya adalah hiburan bersifat sementara.

Begitu juga dengan nikmat iman dan Islam yang Allah SWT berikan. Sepatutnya, kita perlu menghargainya dan benar-benar mensyukuri nikmat ini kerana tidak semua orang berpeluang mendapatkannya.

Bayangkan, betapa ramai orang di luar sana lahir dalam keluarga yang bukan Islam dan tidak pernah mengenali nikmatnya hidup sebagai seorang muslim sejak lahir. Justeru, kita harus menghargainya dengan berusaha menyampaikan Islam pada orang lain dengan cara berdakwah, menonjolkan akhlak yang baik dan sebagainya supaya mereka-mereka yang bukan Islam mula menyedari hakikat sebagai manusia di atas muka bumi ini dan pada akhirnya memeluk Islam dan mengesakan Allah SWT.  

Sewajarnya, sikap ini perlu diperbetulkan kerana apa yang masuk ke dalam telinga, sekalipun ia keluar mengikut telinga kiri tetap akan dipersoalkan penggunaan pada hari akhirat nanti.

Nikmat pendengaran ini terlalu besar bagi mereka yang menghargainya atau kehilangannya. Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah lagi yang hendak kamu dustakan?

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 36 bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta tanggungjawab atasnya.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya, roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur." (Surah as-Sajadah, ayat 9)

No comments:

Post a Comment