Dalam
masyarakat Melayu ada banyak bidalan berkaitan mulut. Bidalan mulut murai, mulut tempayang, mulut
becok, mulut gatal, tanam tebu di bibir mulut, biar pecah di perut jangan pecah
di mulut, mulut kubur, mulut manis, mulut hebiak, mulut berus dan banyak lagi
yang menggambarkan perihal sikap individu berkaitan mulut.
Jelas
sekali sesuatu yang berkaitan mulut menjadi perhatian orang lain yang melambangkan
peribadi seseorang. Kita jarang sekali
mendengar orang mengambarkan peribadi seseorang dengan bahagian anggota badan
lain.
Justeru itu adalah amat penting kita perlu
berhati-hati berkaitan mulut atau lidah, jangan sampai dilabelkan dengan gelaran
yang melambangkan peribadi tidak baik. Jangan salahkan orang lain jika kita digelarkan dengan bidalan berkaitan
mulut kerana itulah sebenarnya lambang peribadi kita yang diperhatikan oleh
orang lain.
Seorang pemikir Islam, Ibnu Thaus mengumpamakan
lidahnya seperti binatang buas yang jika dilepas bebas nescaya akan memakan
dirinya sendiri. Maka, harus lidah itu dijaga dengan sebaik-baiknya
agar tidak terlepas kata yang membinasakan diri sendiri.
Menjaga
mulut bermakna mengucapkan perkataan yang baik-baik dan mengelak daripada
keluar perkataan mendatangkan keburukan. Bagaimanapun seringkali berlaku ketika
bercakap terkeluar perkataan tidak baik dengan tidak sengaja.
Ketika
bercakap selalulah amalkan sikap berhati-hati atau berfikir sebelum bercakap
agar tidak berlaku terlepas cakap perkatan yang tidak elok atau berbentuk
dosa. Sesiapa yang mengawal daripada
mengucapkan perkataan buruk bermakna menjaga dirinya daripada kemurkaan Allah.
Peri
pentingnya menjaga percakapan banyak diungkapkan oleh Nabi Muhammad dalam hadis
dan sunah hidup baginda. Perkara itu
berkaitan betapa kemuliaan diperoleh mereka yang mengawal lidahnya dan
kecelakaan sesiapa bercakap perkataan buruk.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan
kehormatan orang) maka Allah akan menutup kecelaannya (hal-hal yang
memalukan). Sesiapa yang menahan
kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada seksa-Nya. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya
kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya.” (Hadis
riwayat Ibnu Abib-Duanya).
Sesungguhnya
mengawal lidah daripada berkata-kata perkara buruk adalah lambang
keimanan.
Sesungguhnya mereka yang
beriman tidak sekali-kali akan memperkatakan perkara yang ditegah.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka
hendaklah dia berkata yang baik maupun dia diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Jika
seseorang berjaya mengawal mulutnya dijamin ke syurga, maka sebaliknya jika
gagal mengawalnya. Seorang sahabat
pernah menanyakan kepada Rasulullah apakah sebab terbesar seseorang masuk
neraka, maka baginda menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Dua rongga badan
iaiatu mulut dan kemaluan.” (Hadis
riwayat at-Tarmizi dan Ibnu Majah).
No comments:
Post a Comment