Amalan ziarah menziarahi, mengeratkan
silaturahim dan mengukuhkan perpaduan sesama insan amat penting. Kadang-kadang,
ada yang tidak pernah bertegur sapa selama bertahun-tahun lamanya atau tidak
pernah berkunjung ke rumah saudara mara selama sekian lama. Maka, inilah masa
terbaik untuk kita menjalinkan semula ikatan silaturahim sesama kita.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menginginkan agar murah rezeki dan dilanjutkan ajalnya, maka hubungkanlah silaturahim." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Di antara sunah Nabi SAW dalam
menyambut Aidilfitri dengan banyak bertakbir, bertahmid,
bertasbih dan bertahlil seawal bermulanya malam 1 Syawal. Ia dilakukan sama ada
secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama
keluarga. Bahkan pada zaman Rasulullah SAW, takbir itu dikumandangkan sehingga
ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.
Kita patut membersih atau mengemas
diri seperti menggunting rambut di bahagian kepala dan anggota badan agar
tampil kemas, segak dan bergaya pada hari raya mulia. Dalam hal ini, bau-bauan
yang harum seperti minyak wangi, atar dan sebagainya juga digalakkan bagi
meraikan hari mulia ini.
Mandi juga disunatkan pada pagi 1
Syawal sebagaimana dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar di dalam kitab al-Muwatta',
bahawa Rasulullah SAW mandi pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda bertolak ke
masjid.
Disunatkan juga makan terlebih dahulu
sebelum berangkat ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri berpandukan
hadis Anas bin Malik yang menjelaskan bahawa Baginda SAW makan kurma dengan
bilangan yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi menunaikan solat
sunat Aidilfitri.
Acara yang paling kemuncak pada Hari
Raya Aidilfitri ini adalah solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbahnya.
Sunat pula pergi menunaikan solat itu dalam keadaan berjalan kaki sebagaimana
mafhum hadis Ali bin Abi Talib dalam Sunan Tirmizi.
Cuma bagi yang agak jauh
jarak rumah ke masjid, maka bolehlah mereka menaiki kenderaan kerana agama
Islam bersikap terbuka dalam bab ini.
Baginda juga menyuruh seluruh umat
Islam datang ke lapangan terbuka agar mendengar khutbah hinggakan kepada kaum
wanita, tidak kira yang tua atau muda, yang uzur atau sebaliknya. Cuma mereka
yang uzur diarahkan agar berada di luar masjid kerana halangan keuzuran
tersebut seperti riawayat Ummi Atiah dalam Sahih Bukhari dan Muslim.
Pada pagi hari raya yang indah ini
juga, sunat bagi kita memakai pakaian yang terbaik dan tercantik. Imam Baihaqi
ada menyebutkan bahawa Ibnu Umar menjelaskan bahawa baginda Rasulullah SAW mengenakan
pakaian yang terbaik dan tercantik bagi meraikan kedua-dua hari kebesaran
Islam; Aidilfitri dan Aidiladha.
Menurut
ketentuan sunah, pada Hari Raya Aidilfitri, kita dianjurkan mengucapkan "taqaballahu
minna wa minkum" yang bermaksud "mudah-mudahan Allah menerima ibadah
puasa yang baru kita laksanakan".
Selain
itu, sudah menjadi kebiasaan kita saling mengucapkan "minal aidin wal
faizin" yang bererti "mudah-mudahan Allah menjadikan kita orang yang
kembali dari medan perang dengan memperoleh kemenangan yang besar".
Diceritakan
bahawa mengucapkan minal aidin wal faizin itu adalah kebiasaan para sahabat di
zaman dahulu kerap mengucapkan kata-kata itu apabila mereka kembali dari medan
perang dengan mengibarkan bendera kemenangan.
Namun,
dalam masyarakat kita, ucapan yang lebih kerap diucapkan ialah ungkapan
"selamat hari raya". Tidak salah ucapan itu, tetapi dalam segi
maksudnya tidak membawa apa-apa erti. Kosong. Justeru lebih elok kita ucapkan
"taqaballahu minna wa minkum" dan "minal aidin wal faizin".
Pada hari mulia ini masa yang paling
baik untuk bermaaf-maafan. Segala yang keruh dibuang, sebaliknya ambillah yang
jernih. Islam amat mengutamakan amalan memberi kemaafan untuk melahirkan hidup
yang sejahtera dan harmoni. Dosa melibatkan sesama manusia hanya terampun jika
mendapat kemaafan daripada orang berkaitan.
Hakikatnya tidak ada masa tertentu
atau musim yang khusus untuk kita bermaaf-maafan. Cuma apabila berada pada hari
kebesaran Islam, hari kedamaian dan hari kegembiraan umat Islam, eloklah kita
menggunakan kesempatan bermakna ini, untuk mengikis perasaan ego dan takbur
diri dengan memaafkan segala kesalahan saudara-saudara kita.
Dalam sepotong hadis, Baginda bersabda
maksudnya: "Harta itu tidak akan luak atau berkurangan akibat sedekah,
tidaklah bertambah di sisi Allah bagi seseorang yang sudi memaafkan, melainkan
kemuliaan dan tidaklah seseorang merendah diri melainkan akan diangkat oleh
Allah." (Hadis riwayat Muslim)
Aidilfitri juga
merupakan hari perdamaian. Justeru, perdamaian hidup
sama ada dalam rumah tangga, hubungan sesama kaum kerabat atau sanak saudara
dan rakan taulan serta seluruh kaum Muslimin, sama ada di desa mahu pun kota,
semuanya menyambut kedatangan Syawal mulia ini dengan wajah berseri-seri, hati
yang girang dan tangan bersalam-salaman mengucapkan Selamat Aidilfitri sambil
bermaafan.
Baginda bersabda kepada salah seorang
sahabat dalam sepotong hadis bermaksud: "Wahai Uqbah! Mahukah aku nyatakan padamu
sebaik-baik akhlak penduduk dunia dan akhirat? Iaitu kamu memaafkan orang yang
telah menganiaya dirimu. Kamu memberi atau menolong orang yang telah memutuskan
pemberiannya kepada kamu dan kamu menghubungkan silaturahim dengan orang yang
telah memutuskan perhubungan denganmu." (Riwayat al-Hakim dalam Kitab
al-Mustadrak)
Dalam kita bermaaf-maafan itu, adakah
perlu mengikut hierarki, seperti yang muda kepada yang tua dan sebagainya
ataupun apabila kita merasa telah melakukan kesilapan, tidak kira usia kita
terus meminta maaf?
Setiap makhluk bernama manusia tidak
terlepas daripada dosa dan kesalahan, sama ada kepada Tuhan atau sesama
makhluk, khususnya sesama manusia. Sama ada dosa itu secara sedar atau tidak,
zahir mahu pun batin.
Bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW.
yang bermaksud: "Setiap anak Adam itu pasti akan melakukan kesalahan,
namun sebaik-baik orang yang telah melakukan kesalahan itu adalah mereka yang
bertaubat atau memohon ampun (iaitu kepada Allah dan saudaranya yang lain).
(Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Kesalahan sesama manusia terjadi sama
ada berbentuk penganiayaan, pengambilan hak secara tidak sah, umpatan
(kata-kata di belakangnya), kata nista dan sebagainya.
Sekiranya ia bersangkutan dengan pengambilan hak orang lain tanpa jalan yang halal atau izin tuannya, seperti mencuri atau merampas hak orang lain, maka ia harus dipulangkan kembali, melainkan sekiranya ia dimaafkan atau dihalalkan oleh saudaranya.
Sekiranya ia bersangkutan dengan pengambilan hak orang lain tanpa jalan yang halal atau izin tuannya, seperti mencuri atau merampas hak orang lain, maka ia harus dipulangkan kembali, melainkan sekiranya ia dimaafkan atau dihalalkan oleh saudaranya.
Adapun kesalahan selain itu seperti
umpatan, kata nista dan seumpamanya, ia dapat diluputkan atau dilangsaikan
dengan bermaaf-maafan.
Justeru, hari baik dan bulan baik inilah waktu yang
paling bermakna untuk kita saling bermaaf-maafan dan reda-meredai agar makna
agung 'al-Fitri', iaitu kembali kepada fitrah dan kesucian diri dapat
dimanifestasikan dalam kehidupan masyrakat kita seluruhnya.
Tindakan memohon ampun dan maaf
daripada ibu bapa sekadar menggunakan medium SMS dan Whatsapp, adalah sangat
tidak wajar dan dilihat sebagai suatu bentuk layanan dan perhubungan yang biasa
sahaja, seperti perhubungan dengan rakan dan taulan, bahkan ia tidak
menggambarkan status ibu bapa di tempat yang mulia.
Oleh itu, lahirkanlah layanan yang
istimewa dan cinta yang setinggi-tingginya kepada semulia-mulia insan dengan
mencium tangan ibu bapa tersayang pada hari mulia ini.
Namun, sekiranya ada halangan yang membataskan hal tersebut, sekurang-kurangnya gunakanlah medium telefon untuk ucapan selamat hari lebaran dan memohon ribuan kemaafan.
Namun, sekiranya ada halangan yang membataskan hal tersebut, sekurang-kurangnya gunakanlah medium telefon untuk ucapan selamat hari lebaran dan memohon ribuan kemaafan.
No comments:
Post a Comment