Macam-macam cara Allah membuka hidayah kepada
hamba-Nya untuk menerima Islam. Salah satu caranya dengan menunjukkan bukti keagungan
al-Quran.
Imam al-Qurtubi membawa sebuah kisah hebat
yang berlaku pada zaman Khalifah al-Mamun daripada kerajaan Bani Abbasiyah berkaitan
keagungan al-Quran yang membawa kepada pengislaman seorang Yahudi.
Khalifah al-Mamun selalu mengadakan majlis
perbincangan pelbagai isu dengan rakyatnya. Pada suatu hari seorang lelaki
Yahudi yang segak mewangi lagi penuh wibawa menyertai majlis tersebut. Cakap
lelaki Yahudi ini juga penuh bijaksana dan mempesonakan semua yang hadir.
Setelah selesai majlis, Khalifah al-Mamun
bertanya agama anutannya. Lelaki itu menyatakan dia beragama Yahudi. Al-Mamun
mencadangkan agar dia memeluk Islam dan menjanjikan jawatan yang sesuai dengan kewibawaannya.
Lelaki Yahudi itu menolak.
Selepas setahun, lelaki Yahudi itu memeluk
Islam dan bertemu kembali dengan Khalifah al-Mamun. Bicaranya tentang ilmu
fikah sungguh mempesona dan penuh wibawa. Khalifah agak terkejut dan bertanya
apa rahsia pengislamannya.
Lelaki Yahudi itu lantas menceritakan:
“Setelah aku keluar dari majlismu (wahai Khalifah) aku berhasrat menguji agama
ini (Yahudi, Nasrani dan Islam). Aku pula memiliki tulisan tangan yang sungguh
cantik sebagaimana yang kamu ketahui dan saksikan.
Aku menyalin kitab Taurat dalam tiga salinan
berasingan dan pada ketiga salinan itu aku tambah dan kurangkan isi asalnya.
Selepas itu aku jual ketiga salinan kitab Taurat itu kepada rumah ibadat
Yahudi. Mereka membeli ketiga salinan tersebut (tanpa soal).”
“Selepas itu aku lakukan perkara sama kepada
kitab Injil. Ia juga diterima oleh pihak gereja tanpa soal.
Kemudian aku tulis pula 3 salinan surah
al-Quran bersama penambahan dan pengurangan serta cuba menjualnya kepada
seorang tukang kertas (pencetak) untuk dicetak.
Setelah melihat salinan al-Quran itu mengandungi penambahan serta pengurangan, dia lantas mencampaknya jauh dan enggan membelinya.”
“Selepas peristiwa itu, aku sedar bahawa
kitab ini (al-Quran) memang terjaga (daripada sebarang perubahan atau
pengurangan). Itulah peristiwa yang membawa kepada pengislamanku.” (Tafsir
al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 9 surah al-Hijr).
Maha Suci Allah! Hebat sekali cara Allah
menjaga kitab-Nya ini. Sungguh beruntung orang Islam yang berbangga, mendalami
dan mengamalkan kitab yang sungguh istimewa ini.
Jika kita masih jauh daripada kitab ini, berubahlah segera dan jangan hanya tahu berbangga dengan sesuatu yang jarang kita sentuh. Semoga Allah merahmati kita semua dengan iman yang sebenar kepada al-Quran.
Jika kita masih jauh daripada kitab ini, berubahlah segera dan jangan hanya tahu berbangga dengan sesuatu yang jarang kita sentuh. Semoga Allah merahmati kita semua dengan iman yang sebenar kepada al-Quran.
No comments:
Post a Comment