Mencarut dan mencaci merupakan perbuatan keji
yang tidak melambangkan sikap seorang muslim. Jika seseorang yang mengaku
beriman dan merasakan darjat keimanannya lebih tinggi daripada orang lain,
tetapi selalu mencarut dan mencaci, maka sebenarlah itulah hanya sangkaan
kosong semata-mata.
Sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad
bermaksud: “Sesungguhnya kekejian dan berbuat kekejian, tidak sedikitpun
daripada Islam. Dan sesungguhnya manusia yang terbaik Islamnya ialah
mereka yang baik akhlaknya.”.
Islam tidak sekali-kali membenarkan seseorang
Islam membuka aib muslim lain. Biarpun orang itu telah membuka aib yang
benar, tetap dilarang dilakukan.
Sesiapa yang membuka aib orang lain,
sedangkan orang yang dikenakan itu tidak membalasnya kembali, maka kebajikan
akan digantikan kepadanya atas kesabaran itu.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Hendaklah kamu
bertakwa kepada Allah. Kemudian sekiranya ada orang yang memalukan engkau
kepada dia tahu dirimu ada sesuatu keaiban, maka janganlah engkau membalasnya
dengan memberi malu kepadanya, kerana jika engkau mengetahui dia juga mempunyai
sesuatu keaiban, maka bencananya kelak tertimpa ke atas orang itu, manakala
pahalanya akan dicatatkan bagimu. Dan janganlah kamu memaki sesuatu.”
(Hadis riwayat Ahmad dan Tabrani).
Sekiranya perkara keaiban yang benar tidak
boleh disebarkan, inikan pula perkara yang sengaja direka-reka. Menyebarkan
cerita yang tidak benar mengenai seseorang untuk mendatangkan keaiban dipanggil
membuat fitnah.
Membuat fitnah amat besar dosanya. Allah
meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh.
Firman Allah bermaksud: “Fitnah itu besar
(dahsyat) dari melakukan pembunuhan.” (Surah al-Baqarah, ayat 217).
Sifat buruk akibat mulut mudah dilakukan
kerana ia mudah dilakukan. Bahkan ada pihak yang menggunakan tabiat buruk
seperti mencarut, berdusta, membuat fitnah dan mencela sebagai amalan meraih
simpati orang ramai.
Sesungguhnya perkataan-perkataan buruk yang
keluar dari mulut didalangi oleh syaitan. Mereka yang bercakap itu
‘mewakili’ syaitan mengucapkan perkataan tidak baik kepada pihak lain bagi
tujuan memecah belahkan hubungan baik sesama manusia.
Sememangnya kejayaan syaitan merosakkan hidup
anak cucu Adam banyak bergantung kepada ‘pertolongan’ manusia sendiri yang
engkar kepada perintah dan amaran Allah.
Sesiapa yang di dalam dirinya mempunyai
sifat-sifat syaitan, maka bersaksilah bahawa merekalah akan menjadi teman
syaitan di neraka jahanam.
Oleh sebab itu yakinlah bahawa tidak ada
alasan atau hukum yang mengizinkan perkataan-perkataan buruk dan fitnah
digunakan dalam keadaan apa jua keadaan. Maka, boleh dikenali mana-mana
pihak yang menggunakan perkataan buruk dan fitnah perlu dijauhi.
Menjauhkan diri daripada kumpulan sedemikian
bertujuan agar kita juga tidak terpengaruh dengan sikap buruk itu. Sekiranya
selalu mendengar perkataan buruk dan dusta ia akan meresap di dalam diri dan
menganggap perkataan itu perlu diucapkan sama.
Tidak hairalah jika sekarang ini perbuatan
mencaci dan membuat fitnah itu semakin menular di kalangan pihak yang
memperjuangkan fahaman yang lari dari landasan ajaran Islam. Perjuangan
yang didakwa demi mempertahankan agama dilakukan dengan kaedah yang dikehendaki
oleh syariat Islam.
Islam menyuruh agar persaudaraan sesama Islam
diperkukuhkan. Sesiapa yang sengaja memutuskan persaudaraan sesama Islam
dikatakan bukan dari kalangan orang mukmin. Malah tidak mengasihi saudara
sesama Islam telah disebut tidak sempurna imannya.
Sesungguhnya mencaci, mengumpat, membuat
fitnah dan mencarut akan memutuskan hubungan sesama Islam.
Maka sesiapa
yang waras dan beriman tidak sesekali akan mudah menerima perjuangan pihak yang
menggunakan amalan mencaci, mengumpat, membuat fitnah dan mencarut untuk meraih
kejayaan.
No comments:
Post a Comment