Saturday, 13 June 2020

BAIK BURUK POKOK LIDAH JIN

Ramai menggilai pokok lidah jin kerana ia bukan sahaja cantik sebagai perhiasan dalam rumah tetapi ia juga mudah dijaga dan diselenggara. Pokok lidah jin atau nama saintifiknya "Sansevieria trifasciata"  merupakan  pokok hiasan yang telah lama ditanam di halaman rumah di negara kita.

Ada beberapa kelebihan pokok lidah jin:
- Pokok lidah jin adalah antara tumbuhan hijau yang sangat mudah dijaga serta tidak memerlukan kos tinggi. Jika tiada matahari atau bekalan air juga, pokok ini mampu bertahan. Namun sebaik-baiknya, siramlah dan biarkan ia terkena cahaya matahari!
- Pokok ini mampu menyerap pencemaran dan ia di antara yang terbaik dan sebab itu ia sangat sesuai sebagai pohon hijau untuk di dalam bangunan. Malah ia cukup efektif dalam menyedut gas berbahaya seperti toluene, benzene, formaldehye yang dikatakan sebagai punca kanser kepada manusia. Jika gas berbahaya itu pun boleh disingkirkan, apatah pula asap rokok atau bau kepam dalam rumah!
-  Mampu menghasilkan oksigen dengan baik. Klorofil yang dihasilkan akan membantu mempercepatkan proses fotosintesis. Ini sekaligus akan menyebabkan peningkatan penghasilan oksigen dalam rumah anda.
-  Jika anda perasan lidah jin mempunyai satu bau istimewa dan tidak hairan negara seperti China dan Perancis menggunakan tumbuhan ini dalam wangian dihasilkan. Sebab itu, lidah jin sesuai diletakkan dalam rumah seperti bilik air atau dapur bagi meninggalkan baunya yang sedap.
- Pada waktu petang, biasanya bunga lidah jin akan mekar dan ia mengeluarkan bau khas yang menyenangkan. Ia cukup sesuai sebagai terapi selepas seharian keluar bekerja dalam mengurangkan tekanan.

Namun perlu juga diingatkan tentang bahaya pokok lidah jin. Pusat Racun Negara (PRN) menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan pokok lidah jin kerana ia mengandungi racun yang berbahaya untuk kanak-kanak dan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

Diketahui bahawa tumbuhan ini mempunyai bahan aktif saponin. Jika termakan dalam kuantiti yang banyak berkemungkinan boleh menyebabkan gejala-gejala ringan kepada manusia seperti muntah, cirit-birit dan ruam.

Namun, ia mungkin menyebabkan gejala yang lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Antaranya pengeluaran air liur yang berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.

Oleh itu, dalam keghairahan menanam pokok tular ini di rumah anda, pastikan anda berwaspada khususnya jika mempunyai anak-anak kecil yang mungkin bermain atau mematahkan pokok ini. 

Mereka mungkin terdedah pada bahan aktif saponin yang berisiko menyebabkan keracunan.

No comments:

Post a Comment