Banyak umat terdahulu yang menerima pembalasan dibinasakan hidup mereka di dunia disebabkan tidak bersyukur dan ingkar perintah Allah. Kita sepatutnya mengambil pengajaran kisah yang menimpa penduduk Saba yang ditimpa banjir besar dan sikap angkuh Qarun yang ditelan bumi bersama-sama harta kekayaan.
Saba adalah satu kabilah Arab yang tinggal di Yaman sekarang ini. Mereka mendirikan kerajaan yang terkenal dengan nama kerajaan Sabaiyyah dengan Marib sebagai kotanya. Kerajaan Sabaiyyah membangun dan rakyat dapat menikmati kehidupan aman, sejahtera dan mewah hasil pembinaan Ampangan Marib.
Kemewahan dan kenikmatan yang dilimpahi Allah telah menyebabkan kaum Saba lupa diri dan ingkar seruan para rasul, lalu Allah timpakan azab banjir besar atau ‘sailul arim’ akibat pecahnya Ampangan Marib sepertimana dijelaskan Allah dalam surah Saba, ayat 16.
Qarun pula menerima pembalasan disebabkan perasaan angkuh memiliki kemewahan dan kekayaan di dunia. Qarun asalnya dari kalangan orang beriman kepada Allah dan menjadi pengikut setia Nabi Musa.
Namun setelah dia memperoleh kekayaan, dia tidak bersyukur. Dia menolak permintaan Musa agar mengeluarkan zakat dan bersedekah kepada kaumnya daripada hasil kekayaan itu.
Qarun menjadi durhaka kepada Allah kerana mengaku kekayaan yang dimiliki itu adalah hasil usahanya sendiri.
Cerita keangkuhan Qarun dan nasib yang
menimpanya disebabkan tidak bersyukur disebut dalam beberapa ayat surah
al-Qashash.
Sebahagian daripada ayat 76 surah itu bermaksud: “Sesungguhnya Qarun itu termasuk kaum Musa, tetapi dia melakukan aniaya kepada mereka, dan Kami berikan kepadanya kekayaan, yang kuncinya berat dipikul oleh sekumpulan orang yang kuat.”
Manakala sebahagian maksud ayat 78 pula: “Qarun menjawab: Kekayaan yang diberikan kepadaku hanyalah kerana pengetahuanku.” Keangkuhan Qarun itu Allah balas dengan membenamkan Qarun dan seluruh harta kekayaannya ke dalam bumi. Firman Allah bermaksud: “Lalu Qarun dan istananya Kami benamkan ke dalam bumi.” (Surah al-Qashash, ayat 81).
Jelas sekali betapa pentingnya amalan bersyukur dan sentiasa istiqamah dalam mengabdikan diri dan beribadat kepada Allah. Keimanan perlu sentiasa utuh tidak kira ketika menikmati kesenangan maupun berdepan dengan cubaan berat.
No comments:
Post a Comment