Delta esuriens ialah sejenis tebuan (keluarga Vespidae) daripada kumpulan angkut-angkut yang hidup secara bersendirian. Serangga ini boleh
ditemui di pelbagai habitat yang mempunyai tumbuhan serta serangga yang
mencukupi.
Spesies ini juga sering menyesuaikan diri di kawasan manusia
dan membina sarang pada dinding bangunan, bawah bumbung, alang, tingkap, batang
pokok, buluh dan pelbagai permukaan lain.
Dari sudut ekologi, Delta esuriens merupakan serangga
pemangsa yang membantu mengawal populasi serangga lain, khususnya larva
rama-rama dan kupu-kupu, larva serangga tersebut menjadi sumber makanan utama
untuk anaknya.
Oleh itu, kewujudan tebuan ini turut membantu mengurangkan
jumlah larva serangga herbivor yang memakan daun tumbuhan. Dalam ekosistem
pertanian dan taman, peranan menjadi sebahagian daripada kawalan biologi semula
jadi terhadap serangga perosak.
Namun begitu, diet Delta esuriens dewasa berbeza daripada
diet anaknya. Delta esuriens dewasa lebih banyak mendapatkan sumber tenaga
daripada cecair manis seperti nektar bunga dan sumber gula lain.
Dengan mengunjungi bunga ketika mencari makanan, Delta
esuriens dewasa juga berpotensi membantu proses pendebungaan, walaupun ia
bukanlah pendebunga utama seperti lebah.
Berbeza dengan tebuan sosial yang hidup dalam koloni seperti
Vespa tropica (Tebuan Tanah atau Greater Banded Hornet), Delta esuriens betina
menguruskan sarang dan anaknya sendiri. Ia membina sarang daripada lumpur yang
dikumpulkan sedikit demi sedikit, lalu membentuk beberapa sel kecil seperti
pasu. Setiap sel berfungsi sebagai sebuah “bilik” untuk seekor anak.
Selepas sebuah sel hampir siap, betina akan meletakkan
sebiji telur di dalamnya. Namun, telur itu tidak dibiarkan tanpa bekalan
makanan, betina akan keluar memburu ulat atau larva serangga, terutamanya larva
rama-rama dan kupu-kupu. Mangsa akan disengat sehingga lumpuh tetapi biasanya
masih hidup, ia kemudian dibawa pulang dan dimasukkan ke dalam sel.
Setelah jumlah makanan mencukupi, sel tersebut ditutup
sepenuhnya dengan lumpur.Dengan cara ini, anak yang bakal menetas mempunyai
bekalan makanan yang cukup walaupun ibunya tidak lagi berada di situ untuk
menyuapnya.
Telur kemudiannya menetas menjadi larva, larva akan memakan
mangsa yang telah disediakan dan membesar di dalam sel yang tertutup. Selepas
cukup membesar, ia memasuki peringkat prapupa dan seterusnya pupa sebelum
berubah menjadi tebuan dewasa. Apabila sudah matang, tebuan dewasa akan keluar
daripada sel dan memulakan kehidupan sendiri.
Kredit kandungan dan gambar Jejak Air Tawar

No comments:
Post a Comment