Islam menggalakkan penggunaan teknologi, termasuk media
sosial. Banyak manfaat boleh diperoleh melalui penggunaan media sosial,
terutama mendapat maklumat dan merapatkan hbungan.
Namun, pengguna media sosial perlu mengikut adab dan akhlak
Islam. Melakukan perkara yang baik dan menjauhkan perbuatan buruk.
Biarpun di media sosial dan dunia maya, apa saja perbuatan
kita dianggap seperti dilakukan di alam nyata atau bersemuka. Contohnya
perbuatan mengumpat, berbohong, memfitnah dalam media sosial dianggap sama
kesalahnnya perbuatan itu dilakukan secara nyata.
Oleh itu berhati-hati dalam berkongsi maklumat di alam
maya. Jika perbuatan nyata dilakukan menggunakan suara dan tindakan fizikal, di
alam maya kita menggunakan kemudahan papan kekunci dan tetikus komputer dan
gajet.
Kita perlu berhati-hati kerana kecanggihan alam maya
membolehkan fitnah, mengumbat, menipu dan perbuatan lain boleh dilakukan di
mana-mana saja dan bila-bila masa. Kita boleh lakukan ketika berseorangan dan
beramai-ramai.
Perbuatan tidak elok yang diposkan atau status di media
sosial tersebar lebih pantas dan meluas dengan memberi kesan yang maksimum.
Dahulu, kesan atau implikasi orang mengumpat mungkin
setakat mereka yang berada di sekeliling sahaja dan sebarannya agak perlahan.
Pos kenyataan fitnah, untuk dikongsi ramai Hari ini, sekali kita poskan kenyataan
fitnah, umpat dan pembohongan, semua pengikut dapat membacanya dan kemudian
dikongsi dengan orang lain. Kemudaratannya besar sekali.
Mengguna media sosial dari segi prinsipnya harus kerana
sifatnya tertakluk kepada penggunanya bukan kerana zatnya.
Namun jika digunakan ke arah keburukan, maka hukumnya
menjadi haram. Kaedah fikah ini sama
juga kepada hal-hal lain. Ini kerana haram dan harusnya bukan tertakluk kepada
sifatnya. Berlainan dengan daging atau unsur babi yang diharamkan kerana
sifatnya. Jadi, haram mutlak untuk menggunakan sumber babi walaupun untuk
mendapat manfaat daripadanya.
Pada asasnya, apa yang haram dituturkan maka haram juga
hukumnya menulis. Jika mengumpat, berbohong, memfitnah dan seumpamanya itu
haram hukumnya dengan lidah, maka menulis di Facebook, blog, Twitter, e-mel,
WhatsApp, telegram dan sebagainya juga haram hukumnya.
Kita tidak perlu ada ilmu fikah yang berbeza untuk
menetapkan hukum itu kerana apa sahaja yang haram dibicarakan dengan lidah,
maka hukumnya haram juga disebarkan melalui penulisan atau di internet.
Kita perlu ingat dan berhati-hati ada kala apa yang
dituturkan atau ditulis yang disangka seolah-olah perkara remeh, namun di sisi
Allah SWT ia amat besar sama ada diredai atau dimurkai.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda SAW bersabda:
"Seorang yang menuturkan satu perkataan yang diredai oleh Allah SWT dengan
menyangka ia remeh, namun di sisi Allah SWT ia suatu yang amat diredai-Nya,
nescaya Allah SWT akan mengangkat darjatnya dalam syurga; manakala seorang lain
menuturkan perkara yang disangkanya remeh, namun menimbulkan kemurkaan Allah
SWT nescaya Allah SWT akan mencampakkan ke dalam neraka." (Riwayat
Bukhari)
Media sosial sepatutnya digunakan sebagai media dakwah
kerana ia medium paling ampuh untuk menerangkan mengenai Islam, mendekatkan
masyarakat kepada ajaran Islam serta memperbetulkan salah faham berkaitan
Islam. Pengguna internet di Malaysia dianggarkan kira-kira 20 juta orang dengan
62 peratus mengguna media sosial.
Hampir lima jam daripada masa mereka mengguna telefon
pintar untuk tujuan mencapai internet. Bayangkan jika kita guna kesempatan itu
untuk mengakses begitu ramai pengguna. Apa juga berita yang dibaca di media
sosial, anggaplah ia maklumat mentah yang perlu diproses untuk disahkan
terlebih dahulu.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita menyiasat terlebih
dahulu maklumat yang diterima supaya dapat dipastikan kesahihannya. Ini selaras
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila datang
kepadamu orang fasik membawa berita, maka siasatlah terlebih dahulu supaya kamu
tidak menimpakan mudarat kepada orang lain atas kejahilan kamu dan kemudiannya
kamu menyesal." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Hari ini seolah menjadi aliran masyarakat untuk berkongsi
atau memanjangkan apa sahaja maklumat yang diterima tanpa terlebih dahulu
menyiasat kebenarannya. Jika apa yang dikongsikan itu adalah fitnah, maka kita
yang turut memanjangkan maklumat itu turut bersekongkol memfitnah dan
terjerumus dalam dosa.
Ramai yang ghairah menjadi 'orang pertama' menyebarkan
berita (breaking news) walaupun apa yang disebarkan itu mungkin tidak tepat dan
palsu. Gambar bahkan video boleh dipalsukan, begitu juga dokumen boleh direka
cipta bagi menampakkan yang palsu itu benar, yang batil itu hak dan berfakta.
Berhati-hati dan jangan menyangka bahawa kita bebas di alam
maya, sedangkan kita akan dipersoalkan atas setiap perlakuan di Padang Mahsyar
kelak. Apapun, undang-undang dan peraturan, ia tidak akan mampu menyekat dan
membendung salah laku.
No comments:
Post a Comment