Penyebaran fitnah amat berbahaya
kerana memberi kesan amat besar terhadap kemuliaan peribadi seseorang,
perpaduan dan keselamatan negara. Sebab itu untuk mengelak kesan buruk budaya
fitnah, perbuatan itu perlu dihentikan dan dibenci semua orang.
Menurut
Kamus Dewan (edisi keempat), fitnah bermaksud tuduhan (khabar, kisah dan
lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan
seseorang dan lain-lain.
Allah SWT telah memberi peringatan
tentang bahaya fitnah. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud:
“Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.”
Pihak mencipta fitnah bermatlamat
mempengaruhi minda orang agar turut bersama-samanya membalas dendam, melakukan
kerosakan, menyembunyi kebenaran, mengalih perhatian dan provokasi terhadap
individu, kumpulan atau masyarakat.
Jelas sekali sikap pencipta fitnah
amat buruk dan tidak perikemanusiaan. Perbuatan fitnah bukan 'gurauan' atau dianggap kecil. Kesannya melampaui
apa yang difikirkan. Bahkan, kesan buruknya boleh terkena pada pencipta fitnah
sendiri.
Justeru,
Allah SWT memerintah agar pencipta fitnah mesti diperangi kerana kemudaratannya
kepada agama, individu dan masyarakat.
Firman Allah bermaksud: "Dan perangilah mereka itu, sehingga tiada fitnah lagi." (Surah al-Baqarah, ayat 193).
Firman Allah bermaksud: "Dan perangilah mereka itu, sehingga tiada fitnah lagi." (Surah al-Baqarah, ayat 193).
Banyak orang mencipta fitnah merasa
menyesal atas perbuatannya kerana tidak menyangka kesan buruknya amat besar. Sebab
itu, jangan suka-suka bermain dengan api fitnah yang boleh membakar diri
sendiri. Mereka yang mencipta fitnah dan pihak yang turut menyebarkan fitnah sama-sama
menanggung dosa.
Penggunaan media maya secara meluas
mudah berlaku penyebaran fitnah. Sesuatu berita dikongsi dan disebarkan di
media maya dapat merebak dengan mudah dalam sekelip mata. Untuk mengelak diri
terlibat menyebar dan mempercayai fitnah ialah dengan berhati-hati dengan
sebarang berita yang diterima.
Islam mempunyai kaedah ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita
agar tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi orang Muslim
menghalusi setiap berita diterima agar tidak terlibat dalam kancah berunsur
fitnah. Setiap Muslim perlu menjaga adab dan akhlak dalam menerima dan
menyebarkan berita diterima.
Firman Allah SWT dalam surah
al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada
kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak
diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu
menyesali perkara yang kamu lakukan.”
Individu yang suka menyebar fitnah
sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan bahan fitnah. Perbuatan
itu dianggap satu hiburan dan kepuasan tanpa memikirkan kesan penyebaran berita
fitnah itu. Mereka cuba memanipulasikan cerita dan membuatkan cerita itu
seakan-akan betul. Untuk menyakinkan sumber berita, individu tertentu dipergunakan
kononnya sebagai sumber berita itu benar.
Berita sensasi berkaitan dengan
individu ternama dan selebriti mudah mendapat perhatian khalayak. Orang yang mendapat
berita itu kemudian menambah-nambah atau membuat andaian sendiri. Akibatnya,
berita itu menjadi semakin tidak benar dan mendatangkan banyak keburukan.
Mereka
yang menaburkan fitnah merupakan orang yang zalim, sebagaimana dijelaskan oleh
Allah SWT menerusi surah al-Anfal ayat 25 bermaksud: "Dan peliharalah
daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di
antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya."
Berita fitnah menjejaskan maruah dan
kedudukan seseorang. Ia satu pencerobohan yang nyata bertentangan dengan norma
masyarakat dan hukum agama. Perbuatan fitnah sebahagian mengadu-domba yang
mudah menyebabkan permusuhan dua pihak.
Masyarakat dipenuhi budaya fitnah
hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah
pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah. Natijah akibat perbuatan itu boleh
tercetusnya persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta
benda dan nyawa.
Apabila fitnah tersebar secara
berleluasa bermakna nilai-nilai agama telah musnah dalam diri seseorang atau
masyarakat. Sebab itu, Islam bertegas tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah
biarpun untuk tujuan apa sekalipun.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai
fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah” (Hadis riwayat
Muslim)
Penyebaran fitnah mudah berlaku
dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan sistem pesanan ringkas
(SMS), laman web, blog dan e-mail membolehkan penyebaran maklumat tanpa
memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah.
Teknologi sepatutnya digunakan untuk
kebaikan telah disalahgunakan menyebarkan fitnah. Sikap terlalu respon terhadap
SMS menyebabkan penerimanya menyebarkan kepada kenalan lain. Sebab itu ia
tersebar begitu cepat melibatkan rangkaian berita melepasi kawasan dengan
mudah.
Banyak pihak turut terlibat menyebar
fitnah sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kepentingan berkaitannya. Tetapi,
disebabkan amalan menyebar fitnah telah menjadi kebiasaan, banyak orang turut terlibat
dan mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.
No comments:
Post a Comment