Seorang Muslim selalunya
mengeluarkan kata-kata yang baik, lembut serta memberi manfaat kepada si
pendengar kerana sedar Allah menjadikan lidah bukan untuk berbicara sesuatu
yang sia-sia, tetapi yang mendatangkan faedah bukan saja kepada diri sendiri
bahkan orang lain juga.
Firman Allah yang
bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka kecuali bisikan
daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat makruf atau
mengadakan perdamaian di antara manusia. Siapa yang berbuat demikian kerana
mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.”
(Surah an-Nisa’, ayat 114)
Daripada ayat itu
beberapa contoh yang dimaksudkan dengan perkataan yang baik iaitu: Menyuruh
manusia bersedekah sebahagian harta yang dikurniakan Allah kepada orang yang
memerlukan seperti orang miskin, anak yatim dan orang susah.
Menyuruh orang berbuat
baik dalam segala hal sebagai merealisasikan tuntutan agama di samping terlebih
dulu diri sendiri melakukan kebaikan.
Mendamaikan dua pihak
yang sedang bertelagah atau berbalah seperti memberi nasihat supaya hidup
berbaik-baik seperti yang terkandung dalam suruhan Rasulullah SAW, di samping
menyedarkan mereka mengenai keburukan akibat daripada hidup berbalah, tidak
bertegur sapa dan berpecah belah.
Sesungguhnya percakapan
yang terkeluar daripada mulut menjadi kayu ukur kepada keimanan seseorang. Ini
dapat kita fahami daripada sabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW bermaksud:
“Tidak lurus keimanan seseorang sehingga lurus hatinya dan tidak lurus hatinya
sehingga lurus pula lidahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Boleh dikatakan seorang
yang beriman, senantiasa mengeluarkan kata-kata baik dan berfaedah. Orang tidak
beriman pula katanya keluar mengikut rentak nafsu atau mengikut hati yang jauh
daripada hidayah. Kata-katanya kedengaran tidak keruan, mencarut, mengejek,
memfitnah dan menipu.
Lantaran itu, Islam
sebagai agama paling lengkap, tinggi dan suci mengajar manusia bukan saja
sebatas ibadat dan akidah, bahkan juga akhlak termasuk percakapan. Islam
memberi panduan dalam berkata dan menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk
menghayati dan mematuhinya baik dalam keadaan bagaimana sekalipun.
Dalam pertuturan,
perbualan atau percakapan, kita perlu mengikut beberapa ketetapan antara lain:
bercakap benar, bercakap perkara baik dan bercakap menggunakan kata yang sopan
dan lembut.
Kata yang lembut dan
sopan dengan bahasa baik, disertai nada suara rendah dan menawan, mempunyai
tarikan tersendiri bagi orang yang mendengarnya kerana hati akan tenteram dan
apa diperkatakan mudah difahami serta mewujudkan kemesraan.
Al-Quran menyebut
saranan supaya berkata sopan dan lembut melalui firman yang bermaksud: “Dan
lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”
(Surah Luqman, ayat 19)
No comments:
Post a Comment