Tuesday, 31 July 2018

DOSA MENGUMPAT TIDAK DIAMPUNKAN

Semua orang mengetahui dosa mengumpat, tetapi malangnya perbuatan itu terus menjadi-jadi. Terdapat individu yang mengaku alim, tetapi terang-terang melakukan perbuatan mengumpat. Dia heboh mengatakan orang itu dan orang ini melakukan dosa. Kononnya buruk sangatlah perangai orang yang diumpat itu.  

Sesetengah orang pula tidak sedar perbuatannya dikira mengumpat. Malah ada mengatakan apa yang diceritakan bukan hendak mengumpat. Sedangkan, hukum terhadap sesuatu perbuatan tidak ditentukan oleh kita. Sesiapa yang melakukan yang haram tetap haram hukumnya.

Mengumpat sudah terlalu biasa dilakukan dan telah membudayakan dalam kehidupan. Sebab itu kita seperti tidak merasakan dosa perbuatan mengumpat. Perkara ini berpunca ceteknya kefahaman mengenai hukum agama. Hakikat inilah yang perlu direnungkan oleh kita semua agar dapat menemui jalan kebenaran. 

Kita biasanya mudah insaf berusaha untuk mengelak diri daripada melakukan dosa besar, contohnya, tidak banyak individu melakukan zina kerana takutkan dosanya yang amat besar. Sebab itu, jika ada anak gadis mengandung akibat perbuatan zina, maka dia menjadi bahan umpat keji kebanyakan orang. Ibu bapa dan keluarga turut menanggung malu akibat perbuatan itu. Besar benarlah dosa yang dilakukan itu.

Tetapi orang melakukan umpatan itu tidak menyedari dia telah melakukan dosa yang lebih besar dosanya daripada berzina. Apa lagi orang mengumpat tidak sekali saja. Perkara itu diulang-ulang diberitahu kepada orang lain pula.

Individu berzina boleh bertaubat dengan menyesali perbuatan itu, dan Allah SWT akan mengampunkan dengan limpah kurnia-Nya. Tetapi, orang mengumpat perlu berjumpa dengan orang diumpat untuk memohon ampun, dan kemudian dia perlu bertaubat pula. 

Perbuatan mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan yang pada dirinya.

Kesan buruk mengumpat boleh menyebabkan perbalahan dan perasaan tidak senang di dalam masyarakat. Perasaan irihati, marah, benci dan dendam mudah merebak daripada perbuatan mengumpat. 

Lantas, mangsa umpatan pula akan menjadikan umpatan yang lebih hebat lagi sebagai cara membalas dendam. Dia tidak mahu hanya dirinya saja menjadi mangsa. Biarlah orang lain juga menjadi mangsa seperti dirinya.  Sebab itu, budaya mengumpat subur dalam masyarakat.    

Perbuatan mengumpat boleh berlaku biarpun semasa bergurau dan melawak apabila menggunakan perkataan yang melambangkan keburukan seseorang. Kita ditegah memanggil seseorang dengan panggilan menunjukkan kekurangan fizikal seperti botak, buncit dan hitam.

Tidak dinafikan, gurauan adalah satu perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Hidup tanpa ada gurauan dirasakan kuku dan tidak ada yang boleh menceriakan keadaan. Lantaran itu, tidak salah kita bergurau, tetapi hendaklah dielakkan daripada gurauan yang boleh menimbulkan keburukan.

Kita tidak sepatutnya menjadikan lambang fizikal seseorang dijadikan sebagai bahan gurauan atau panggilan tanda ‘mesra’. Sebenarnya masih banyak gelaran lain yang bermaksud baik boleh digunakan untuk mengikat kemesraan dan sebagai identiti diri.  

Memang tidak salah jika tuan empunya diri tidak marah atau membenarkan dirinya dipanggil dengan gelaran itu. Tetapi fikirkan, elokkah kita memanggil seseorang dengan gelaran melambangkan kekurangannya? 

Mungkin orang itu tidak menunjukkan tanda marah kerana sudah lali dengan panggilan itu. Sedangkan sebenarnya dia tidak suka gelaran itu dipanggil kepadanya. Mungkin juga di dalam hatinya tersimpan perasaan dendam dan kusut fikiran memikirkan gelaran gurauan terhadap dirinya.

Rasulullah SAW menganjurkan agar umatnya memilih nama yang baik dan memanggil orang lain juga dengan panggilan yang baik. Cara gurauan dan panggilan yang baik adalah tanda kemuliaan akhlak.

Rasulullah SAW amat mementingkan pembentukan akhlak mulia di kalangan umatnya. Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk memyempurnakan kemuliaan akhlak.” (Hadis riwayat Ahmad).

Berusahlah mengelak diri daripada perangkap amalan mengumpat. Kejayaan seseorang menjauhkan amalan buruk bergantung kepada kesungguhannya untuk melakukannya. Berhati-hati ketika bercakap adalah cara terbaik untuk mengelak diri daripada mengumpat.

Latihlah diri untuk mengawal lidah daripada bercakap sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain. Pastikan juga apa-apa yang diucapkan memberi kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. 

Pada masa yang sama, latihlah diri untuk selalu bertaubat agar setiap amalan yang dilakukan tidak meninggalkan kesan hitam di hati. Hati yang bersih tidak akan mudah terdorong melakukan perbuatan yang akan mengotorinya, termasuklah menjauhi perbuatan mengumpat.

No comments:

Post a Comment