Tidak salah bagi umat Islam turut
merayakan Hari Ibu biarpun bukan dari tradisi atau perayaan dalam Islam.
Sesuatu yang tidak ada nas atau perintah mengharamnya, maka termasuk dalam
kategori harus.
Sambutan Hari Ibu bukan berkaitan
perayaan agama lain, biarpun dicetuskan oleh orang bukan Islam. Memang pun,
perayaan yang disambut di seluruh dunia, tidak termasuk yang berkaitan dengan
agama Islam, adalah ‘dicipta’ oleh bukan Islam.
Sebenarnya sambutan Hari Ibu telah
bermula sejak zaman empayar Roman purba beribu-ribu tahun lalu. Penghormatan
yang diadakan pada setiap musim bunga itu asalnya ditujukan kepada Dewi Rhea
yang dianggap oleh orang Greek purba sebagai ibu kepada tuhan.
Di kalangan orang Kristian,
sambutan Hari Ibu dibuat ketika perayaan Lent (40 hari sebelum perayaan Easter)
sebagai tanda penghormatan kepada Mary, ibu kepada Christ.
Sambutan Hari Ibu moden bermula
pada 8 Mei 1914 di Amerika Syarikat hasil usaha Anna M Jarvis yang begitu
mengkagumi usaha dilakukan oleh ibunya, Anna Jarvis dalam kerja-kerja membantu
orang miskin dalam masyarakatnya.
Untuk menghargai jasa ibunya, Anna
M Jarvis telah melobi pelbagai pihak di Amerika Syarikat, termasuklah Presiden
Taft dan Roosevelt untuk menamakan dan merayakan satu hari sebagai Hari Ibu.
Walaupun sambutan Hari Ibu untuk
seluruh insan bergelar ibu, hakikatnya Anna M Jarvis ingin mengabadikan jasa
ibunya untuk dikenang sepanjang masa.
Presiden Woodrow Wilson telah
mengisytiharkan hari Ahad kedua pada setiap Mei sebagai Hari Ibu. Bermula saat
itu sambutan telah meluas ke seluruh dunia dan menggunakan tarikh sambutan di
Amerika Syarikat sebagai rujukan.
Dalam Islam, jasa ibu bukan sekadar
dikenang dan dihargai, tetapi satu perintah daripada Allah agar setiap anak
wajib mentaati, mengasihi, berbakti dan mengutamakan ibu dalam segenap perkara
sepanjang masa.
Perintah agama lebih menyeluruh dan
lebih bermakna daripada sambutan Hari Ibu. Sambutan Hari Ibu sekadar satu
tradisi, sedangan perintah Allah menjadi hukum yang mesti dilaksanakan.
Jadikan hari ibu sepanjang tahun, dan berusahalah mengembirakan hati ibu tanpa
perlu menunggu Hari Ibu sekali setahun.
No comments:
Post a Comment