Layan nafsu makan. Apa nak makan,
kedai makan terkenal, hidangan paling lazat, apa menu, tempat makan mana dan
sedap sering bermain di fikiran.
Hawa nafsu adalah mata-mata syaitan. Hawa nafsu
selalu memenuhi keinginan syaitan yang selalu ingin memuaskan
keinginan hawa nafsu.
Hawa nafsu juga selalu meminta bantuan syaitan untuk memudahkan apa yang
diinginkannya dan syaitan selalu mengembuskan bisikannya ketika menggoda
seseorang melalui hawa nafsu.
Salah satu cara menutup gejolak hawa
nafsu ialah dengan berlapar, sehingga ia tidak mampu menyampaikan keinginannya kepada syaitan.
Setelah hawa nafsu tidak berdaya
kerana ditaklukkan oleh lapar, mucullah semangat spritual yang menerima limpahan
cahaya Ilahi dan pengajaran yang berguna.
Ali bin Abi Thalib bercerita:
“Suatu hari aku masuk ke rumah Rasulullah. Aku melihat baginda
bertelungkup di atas tikar sambil menyembunyikan wajah. Tubuhnya kelihatan
lemah kerana menahan lapar. Ketika itu Rasulullah berdoa, ‘Dengan lapar dan
dahagaku, ampunilah umatku atas dosa-dosa mereka’.”
Aisyah meriwayatkan: “Rasulullah
dan para sahabatnya biasa menahan lapar.”
Pernah suatu kali, ketika Rasulullah SAW mengimami sembahyang, beberapa sahabat
tidak sanggup berdiri kerana lapar.
Selesai sembahyang, Rasulullah SAW
menoleh ke arah mereka dan bersabda: “Seandainya kalian tahu apa yang akan
kalian dapatkan di sisi Allah (kerana lapar kalian), nescaya kalian akan
menambah (lapar kalian).”
Abu Hurairah berkata: “Kamu lihat, aku merintih di antara kuburan Nabi dan mimbar kerana lapar, sehingga orang mengatakan aku gila. Aku bukan gila, melainkan lapar.”
Keadaan lapar melatih dan
memelihara kepekaan kepada orang yang selalu menanggung lapar dan penderitaan
akibat kesulitan hidup. Nabi Yusuf sewaktu menjadi bendahara kerajaan di
Mesir, ditanya mengapa ia tidak pernah mengenyangkan diri dengan makanan.
Beliau menjawab: “Aku takut jika aku kenyang aku lupa kepada orang yang lapar.”
Dikhabarkan, Hatim Al-Thai
mempunyai seorang ayah yang banyak harta. Ia menyuruh Hatim supaya tidak banyak
memberi, tetapi Hatim malah tidak berhenti memberi.
Seseorang menyarankan kepada ayah Hatim: “Jika tuan ingin Hatim
berhenti, tuan harus mengurungnya di dalam rumah selama beberapa hari. Selepas
itu, dia tidak akan memberi lagi.”
Ayah Hatim pun melaksanakan nasihat itu mengurung Hatim di dalam
rumah. Setelah sebulan dikurung, barulah Hatim dilepaskan.
Si ayah yakin bahawa, setelah
dikurung, Hatim tidak akan mengulangi kebiasannya lagi. Dia memberi Hatim dua
ratus unta. Sangkaan si ayah tidak tepat. Hatim memanggil penduduk kampung
seraya berkata: “Barang siapa mengambil unta di antara unta-unta ini dengan
tali, unta itu menjadi miliknya.”
Lalu,
seorang demi seorang mengambil unta dan habislah semua unta di tangan Hatim.
Sepulangnya ke rumah, Hatim menceritakan hal itu kepada ayahnya. Si ayah
bertanya, mengapa dia masih berbuat seperti itu. Hatim menjawab: “Rasa lapar
telah mendorongku untuk tidak kedekut dengan apa yang aku miliki.”
Ingatlah, ketika berlebih-lebihan
dalam soal makan, ada insan lain kelaparan. Ada yang terpaksa mencari sisa
makanan dalam tong sampah. Amalkan bersyukur dan bersederhana dalam soal makan.
No comments:
Post a Comment