Wednesday, 10 April 2024

KFC MALAYSIA MILIK MUSLIM

 
Kentucky Fried Chicken (KFC) sinonim dengan ayam goreng biarpun ia juga memasarkan menu lain. Jenama KFC terkenal di seluruh dunia dengan 25,000 buah cawangan. Di Malaysia sahaja terdapat lebih 600 buah cawangan. Bayangkan berapa besar pasaran franchise KFC ini.
 
Jenama KFC mula dicipta pada tahun 1939 di Corbin, Kentucky, Amerika Syarikat. Pada tahun 1952, francais pertama beroperasi di South Lake, Utah oleh Harland Sanders dan Pete Harman.
 
KFC mula bertapak di Malaysia buat pertama kali pada tahun 1973 di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
 
KFC jenama terkenal. Biarpun ia berasaskan gaya hidup Amerika Syarikat atau Barat, mesyarakat seluruh dunia menyukainya. Sebab itu, apabila China membenarkan pelaburan asing masuk ke negara tersebut, berpusu-pusu rakyat China ingin merasai bagaimana rasa ayam KFC. Kira-kira 5000 outlets dibuka dan kekal sampai sekarang di China.
 
Dengan kata lain, KFC dimakan atau diminati semua bangsa di semua benua oleh penganut semua agama dan fahaman. KFC mencerminkan simbol kebebasan untuk sesiapa memilihnya atau sebaliknya.
 
Perniagaan KFC bukan sahaja dilihat pada operasi cawangan menjual ayam goreng. Ia satu bentuk perniagaan yang memerlukan pembekalan bahan mentah, khususnya ayam yang banyak.
 
Di sinilah wujud satu prospek perniagaan yang besar dalam pembekalan ayam halal. Ia bukan jumlah yang kecil. Perkembangan KFC di Malaysia telah membuka industri ayam halal yang cukup berdaya maju. Ia bukan sahaja membekalkan ayam kepada KFC, bahkan kepada industri ayam halal keseluruhan di negara Malaysia.
 
Bayangkan jika pemilik KFC Malaysia atau mereka yang berurusan dengan KFC Malaysia dalam pembekalan ayam halal dapat menembusi permintaan ayam antarabangsa. Jumlahnya tentu besar dan menguntungkan.
 
KFC Malaysia dimiliki syarikat Islam. Apa-apa kepentingan atau keuntungan perniagaan KFC adalah milik orang Islam. Jika rugi, maka kerugian adalah dialami orang Islam.
 
Pemilik KFC Malaysia berusaha mengembangkan perniagaan di luar negara, khususnya untuk memperkenalkan menu ayam halal. Ini bukan satu jihad yang kecil. Menyediakan sesuatu yang halal adalah fardu kifayah.
 
Perniagaan ayam halal bukan sahaja satu fardu kifayah, tetapi juga satu perniagaan yang menguntungkan. Sebab itu, bukan Islam turut serta dalam perniagaan produk halal kerana yakin kepada pulangan yang besar.
 
Rangkaian perniagaan KFC adalah berasaskan kepada konsep perniagaan sepenuhnya. Pemiliknya akan mengambil kira soal untung dan rugi. Jika perniagaan mengalami kerugian berterusan, tidak mustahil franchise dipegang akan dilepaskan kepada entiti lain. Bayangkan jika entiti itu nanti bukan milik bukan Islam. Bukan Islam sudah lama mencari peluang untuk memegang franchise KFC di Malaysia kerana yakin kepada keuntungan yang besar untuk tempoh lama.
 
Jihad membangunkan ekonomi Islam bukan mudah. Banyak cabaran dan halangan. Amat malang jika ia berpunca sikap orang Islam sendiri. Bagaimana KFC Malaysia ingin melebarkan sayap dengan membeli atau menguasai franchise KFC di luar negara jika di Malaysia sendiri diruntuhkan oleh orang Islam sendiri.

No comments:

Post a Comment