Sesungguhnya terdapat perbezaan amat ketara
antara Islam dengan parti politik. Jadi tidak mungkin ada parti politik yang
dapat berperanan sebagai parti untuk umat Islam. Islam tidak mengasing-asingkan
umatnya berdasarkan parti politik. Islam mengajak manusia mementingkan
perpaduan dan mengelak persengketaan.
Allah SWT menurunkan Islam untuk seluruh
manusia tanpa mengira batasan geografi, pemerintahan, bangsa dan budaya.
Sedangkan parti politik hanya untuk sesiapa yang mendaftar sebagai ahlinya.
Keahliannya terbuka kepada penduduk di sesuatu kawasan sahaja. Tidak ada
satupun parti politik yang melangkaui kawasan negara, walaupun ada cawangan
atau kelab di luar negara.
Semua parti politik terikat kepada
perlembagaan yang dibuat oleh manusia. Tetapi, Islam sepenuhnya diturunkan
Allah SWT kepada manusia. Manusia tidak terlibat dalam merangka atau menentukan
peraturan berkaitan agama.
Sesungguhnya, tidak akan terjadi apa yang
dibuat oleh manusia akan menyamai apa diturunkan Allah SWT. Sebab itu, setiap
parti politik mempunyai banyak kelemahan sesuai dengan kekurangan manusia yang
menubuhkan parti politik.
Apa yang jelas, perjuangan politik
berdasarkan kepada kepentingan parti mengikut matlamat yang ditetapkan. Setiap
parti politik mempunyai perlembagaan yang berbeza. Mereka bebas mengubah
perlembagaan parti jika mendapat persetujuan majoriti ahli.
Malah, dengan persetujuan ahli, parti
politik boleh bergabung dengan parti lain atau mungkin juga dibubar. Perkara
ini jauh berbeza dengan Islam yang tidak pernah bergabung dengan mana-mana
ajaran atau agama lain.
Sesungguhnya, Islam memperjuangakan
kepentingan sejagat. Islam tidak memperjuangan kepentingan kelompok. Islam
adalah universal dan hukum yang ditetapkan dalam Islam tidak sekali-kali dapat
diubah atau ditukar-tukar mengikut selera kelompok tertentu sahaja. Seluruh
umat Islam menggunakan sumber hukum yang sama iaitu dari al-Quran, hadis dan
keputusan bersama para ulama.
Perpaduan Islam menyeru kepada kesatuan dan
tidak boleh memulau mana-mana individu Islam. Tetapi amalan parti membolehkan
seseorang disekat menjadi ahli atau dibuang menjadi ahli jika tidak mematuhi
peraturan parti.
Peraturan itu samalah seperti melarang
individu atau kumpulan lain daripada bersama-sama berjuang menegakkan agama
Islam (berdasarkan apa yang didakwa). Sesiapa melarang orang berjuang di jalan
Allah SWT, bermakna menentang Allah SWT.
Jika keislaman ditentukan dengan parti
politik, bagaimana nasib orang yang ditolak dan dibuang daripada parti politik
Islam? Apakah keislaman ditentukan oleh pemimpin politik? Apakah orang yang
tidak menyertai parti Islam bermakna dia tidak Islam?
Islam ditentukan melalui akidah mempercayai
kekuasaan Allah dan mengakui mengakui bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah.
Manakala kesempurnaan keislaman apabila melakukan apa yang disuruh dan
menjauhkan apa yang ditegah.
Jadi, keislaman tidak ditentukan melalui
parti politik atau menyertai mana-mana pertubuhan. Islam itu sendiri telah
disediakan sebagai wadah kepada umat Islam untuk melakukan apa sahaja yang
dikaitkan dengan Islam.
Jika keislaman ditentukan dengan parti
politik, bagaimana nasib orang yang ditolak dan dibuang daripada parti politik
Islam? Apakah keislaman ditentukan oleh pemimpin politik? Apakah orang yang
tidak menyertai parti Islam bermakna dia tidak Islam?
Rasulullah SAW tidak menyebut mengenai
penubuhan parti politik Islam. Perkara ini tidak pernah terjadi pada zaman
Rasulullah SAW. Justeru, Rasulullah SAW bukanlah pemimpin parti politik Islam. Baginda
pemimpin bagi seluruh umat Islam sepanjang zaman.
No comments:
Post a Comment