Tuesday 31 July 2018

DILARANG BERGURAU PERSENDA ORANG LAIN

Ada rakyat Malaysia mempunyai tabiat buruk suka mempersendakan personaliti seseorang, seperti kepala botak, perut buncit atau bagaimana orang itu berjalan. Ini satu perbuatan tidak manis atau bolehlah juga dianggap satu kelakuan biadab. Kalau orang dewasa berkelakuan sebegini, kemungkinan kanak-kanak pun boleh terikut.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Bukanlah seorang Mukmin itu seorang yang suka mencela, tidak pula seseorang yang suka melaknat, bukan seorang yang keji dan kotor ucapannya." (Hadis riwayat Bukhari).

Keadaan sebegini begitu terpapar di kaca televisyen, di mana dengan tujuan untuk mencapai peratus populariti yang tinggi, program sitkom televisyen menggunakan strategi ini.

Mungkin boleh dilupakan sahaja jika ianya berlaku sekali dua. Tapi bila tabiat mempersendakan atau meperlekehkan orang lain menjadi terlampau kerap hingga bertukar kepada satu budaya, ia boleh menjadi satu perkara yang amat memualkan.

Pemimpin kita memang tak putus-putus melaungkan aspek perkembangan dan kemajuan seperti pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan perkembangan ekonomi. Mereka mungkin terlupa tentang keperluan anjakan paradigma pemikiran rakyat.

Sudah sampai masanya dihentikan tabiat mempersenda atau memalukan orang lain hanya semata-mata untuk satu situasi kelakar.

Bila ini berlaku, ia bukan satu jenaka lagi. Ia menjadi satu kebosanan sehingga menjemukan bila kita tengok dan dengar pelakon komedi membuat jenaka di kaca televisyen.

Ini memanglah tidak wajar. Niat asalnya memang baik, iaitu hanya untuk mendapat gelak ketawa. Tapi ia boleh bertukar menjadi sensitif, lebih-lebih lagi dalam satu negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum.

Bagaimana nak capai toleransi bila kita asyik mempersendakan cara orang dari kaum lain bertutur bahasa kita. Ini tidak betul. Kita mesti hentikan senda gurauan yang tidak sihat ini.

Seakan menjadi satu trend pula sejak kebelakangan ini apabila satu demi satu aksi meniru gaya seseorang dengan tujuan untuk berlawak. Aksi berkenaan lebih popular dengan istilah parodi.  

Parodi atau parody dalam bahasa Inggeris, ungkapan berasal daripada perkataan Greek, parodia, turut memberikan kesan tersendiri selain daripada tujuan hiburan. Aksi parodi yang dilakukan terhadap penyanyi atau selebriti, contohnya, diakui berperanan sebagai ejen promosi yang baik dan mampu membantu kerjaya seseorang artis.  

Bagaimanapun, parodi tidak perlu berlebih-lebih dan mesti mempunyai batasan. Aksi yang dilakukan tidak perlu keterlaluan atau bersifat sinis kerana ia hanya menyebabkan pihak yang dijadikan bahan lawak tidak selesa dan boleh menimbulkan pertelagahan.  

No comments:

Post a Comment