Tuesday 31 July 2018

FITNAH TIMBULKAN MALAPETAKA DALAM MASYARAKAT

Penyebaran fitnah amat berbahaya kerana memberi kesan amat besar terhadap kemuliaan peribadi seseorang, perpaduan dan keselamatan negara. Sebab itu untuk mengelak kesan buruk budaya fitnah, perbuatan itu perlu dihentikan dan dibenci semua orang.   

Menurut Kamus Dewan (edisi keempat), fitnah bermaksud tuduhan (khabar, kisah dan lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dan lain-lain. 

Allah SWT telah memberi peringatan tentang bahaya fitnah. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.”

Pihak mencipta fitnah bermatlamat mempengaruhi minda orang agar turut bersama-samanya membalas dendam, melakukan kerosakan, menyembunyi kebenaran, mengalih perhatian dan provokasi terhadap individu, kumpulan atau masyarakat. 

Jelas sekali sikap pencipta fitnah amat buruk dan tidak perikemanusiaan. Perbuatan fitnah bukan 'gurauan' atau dianggap kecil. Kesannya melampaui apa yang difikirkan. Bahkan, kesan buruknya boleh terkena pada pencipta fitnah sendiri.

Justeru, Allah SWT memerintah agar pencipta fitnah mesti diperangi kerana kemudaratannya kepada agama, individu dan masyarakat. 

Firman Allah bermaksud: "Dan perangilah mereka itu, sehingga tiada fitnah lagi." (Surah al-Baqarah, ayat 193).

Banyak orang mencipta fitnah merasa menyesal atas perbuatannya kerana tidak menyangka kesan buruknya amat besar. Sebab itu, jangan suka-suka bermain dengan api fitnah yang boleh membakar diri sendiri. Mereka yang mencipta fitnah dan pihak yang turut menyebarkan fitnah sama-sama menanggung dosa. 

Penggunaan media maya secara meluas mudah berlaku penyebaran fitnah. Sesuatu berita dikongsi dan disebarkan di media maya dapat merebak dengan mudah dalam sekelip mata. Untuk mengelak diri terlibat menyebar dan mempercayai fitnah ialah dengan berhati-hati dengan sebarang berita yang diterima.

Islam mempunyai kaedah  ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita agar tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi orang Muslim menghalusi setiap berita diterima agar tidak terlibat dalam kancah berunsur fitnah. Setiap Muslim perlu menjaga adab dan akhlak dalam menerima dan menyebarkan berita diterima.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”

Individu yang suka menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan bahan fitnah. Perbuatan itu dianggap satu hiburan dan kepuasan tanpa memikirkan kesan penyebaran berita fitnah itu. Mereka cuba memanipulasikan cerita dan membuatkan cerita itu seakan-akan betul. Untuk menyakinkan sumber berita, individu tertentu dipergunakan kononnya sebagai sumber berita itu benar.

Berita sensasi berkaitan dengan individu ternama dan selebriti mudah mendapat perhatian khalayak. Orang yang mendapat berita itu kemudian menambah-nambah atau membuat andaian sendiri. Akibatnya, berita itu menjadi semakin tidak benar dan mendatangkan banyak keburukan.   

Mereka yang menaburkan fitnah merupakan orang yang zalim, sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT menerusi surah al-Anfal ayat 25 bermaksud: "Dan peliharalah daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya."

Berita fitnah menjejaskan maruah dan kedudukan seseorang. Ia satu pencerobohan yang nyata bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum agama. Perbuatan fitnah sebahagian mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak.    

Masyarakat dipenuhi budaya fitnah hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah. Natijah akibat perbuatan itu boleh tercetusnya persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. 

Apabila fitnah tersebar secara berleluasa bermakna nilai-nilai agama telah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Sebab itu, Islam bertegas tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah” (Hadis riwayat Muslim)

Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan sistem pesanan ringkas (SMS), laman web, blog dan e-mail membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah.  

Teknologi sepatutnya digunakan untuk kebaikan telah disalahgunakan menyebarkan fitnah. Sikap terlalu respon terhadap SMS menyebabkan penerimanya menyebarkan kepada kenalan lain. Sebab itu ia tersebar begitu cepat melibatkan rangkaian berita melepasi kawasan dengan mudah.

Banyak pihak turut terlibat menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah telah menjadi kebiasaan, banyak orang turut terlibat dan mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.

No comments:

Post a Comment