Monday, 14 August 2023

AIR TENANG JANGAN DISANGKA TIADA BUAYA

 
Ada pepatah berbunyai “air tenang jangan disangka tiada buaya” yang bermaksud orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut.
 
Mengapa buaya dijadikan pembayang atau analogi kepada pepatah itu? Inilah hebatnya orang tua dahulu dalam memerhati apa yang ada di sekeliling untuk dijadikan pelambangan kepada sesuatu pepatah atau peribahasa.
 
Umum mengetahui bahaya buaya binatang besar dan ganas. Namun realitinya, pergerakan buaya tidak menghasilkan gelombang atau riak pergarakan air.
 
Lazimnya, reptilia ini menunggu mangsa di muara atau gigi air tanpa disedari. Peliknya, ia mampu menyembunyikan badannya yang besar tanpa sebarang riak air sebelum menyerang mangsa.
 
Buaya berenang menggunakan siripnya untuk timbul di permukaan dan hilang di dalam air. Ia kemudian muncul secara tiba-tiba di hadapan mangsanya sebelum menariknya ke dalam air. Oleh itu, kehebatan haiwan ini dalam menerkam mangsa tidak boleh dinafikan.
 
Apakah faktor atau keistimewaan buaya yang membolehkan memburu mangsa tanpa dapat dikesan secara riak air sedangkan bentuk badannya cukup besar.
 
Menurut penyelidik T.J. Uriona ahli biologi di Universiti Utah di Salt Lake City, ia adalah penemuan yang menakjubkan. Penyelidik menyedari bahawa buaya sebenarnya mempunyai banyak otot khas yang membantu untuk bernafas.
 
Dalam kajian itu, bagi memantau aktiviti buaya diletakkan di dalam sebuah tangki. Para penyelidik juga meletakkan sejenis pemberat yang diperbuat daripada pelet buckshot di bawah rahang reptilia atau di pangkal ekor mereka.
 
Berat itu mencapai satu perempat puluh daripada berat setiap aligator itu. Aligator dipilih kerana mudah untuk dilakukan penyelidikan. Haiwan ini tidak terlalu agresif dan hanya menyerang untuk mempertahankan diri.
 
Tumpuan diberikan kepada otot khas yang digunakan buaya untuk memanipulasi kedudukan paru-paru mereka. Otot-otot ini dipercayai berkembang untuk membantu buaya bernafas dan bergerak pada masa yang sama.
 
Otot-otot yang timbul berkemungkinan untuk mengambil udara kerana bergerak di dalam air sebelum kembali ke bawah.
 
Paru-paru haiwan ini bertindak sebagai beg udara untuk terapung. Ia boleh menggerakkan organ itu bagi mengubah daya pusat apungan.
 
Penyelidik berpendapat bahawa sekiranya paru-paru bergerak ke arah ekor, ia berperanan untuk menyelam. Manakala, jika ia digerakkan ke arah kepala membantu mereka untuk muncul di permukaan air.
 
Selain itu, jika digerakkan ke bahagian sisi bertujuan untuk berputar ke sisi termasuk menggunakan ekornya. Saintis berpendapat bahawa ia dapat mengawal jumlah udara yang disedut buaya.
 
Jika buaya mahu tenggelam, binatang itu hanya akan mengambil sedikit udara. Sebaliknya, jika mereka mahu ke permukaan, binatang itu akan menarik nafas panjang.
 
Teknik seperti itu dapat mengawal pergerakan air di sekitar badannya. Selain aligator atau buaya, haiwan lain seperti penyu, katak cakar Afrika dan salamander mampu melakukan perkara ini.
 

No comments:

Post a Comment