Monday, 28 July 2025

RUNDINGAN GENCATAN SENJATA THAILAND-KEMBOJA

Mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja diadakan pada 28 Julai 2025 di Putrajaya dengan matlamat mencapai gencatan senjata serta menghentikan permusuhan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Mesyuarat itu diusahakan oleh Malaysia menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN, dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin memuncak dan memulihkan kestabilan di kawasan sempadan yang terjejas akibat konflik.

Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai tiba di Seri Perdana pada 2.51 petang, diikuti Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet tidak lama kemudian.

Kedua-dua negara jiran itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik di sepanjang 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja meningkat sejak 28 Mei 2025 susulan insiden pertempuran tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pertikaian sempadan terus memuncak pada Khamis (24 Julai 2025), dengan pertempuran bersenjata tercetus di sepanjang sempadan utara Kemboja.


Gambar - Huzaini Daud | BERNAMA