Tuesday 31 July 2018

LIDAH UMPAMA BINATANG BUAS DILEPASKAN

Penggunaan lisan atau lidah (perantaraan mulut) dalam kehidupan seharian merupakan cara komunikasi sesama manusia paling berkesan. Biarpun penggunaan bahasa isyarat menggunakan anggota badan seperti tangan, mimik muka dan gerak badan juga membolehkan manusia berkomunikasi antara satu sama lain, ia agak terbatas dan lebih sukar.

Justeru, tepat sekali dikatakan lidah merupakan pancaindera terpenting. Mereka tidak boleh bercakap atau bisu dikategorikan sebagai cacat atau kekurangan pancaindera. Justeru, mereka yang dikurniakan kebolehan bercakap perlu menggunakan anugerah Allah itu dengan sebaik-baiknya. 

Perkara ini perlu diberi perhatian kerana di sebalik keistimewaan itu banyak wujud keburukan jika salah digunakan. Tidak dinafikan banyak bencana dan keburukan boleh berlaku berpunca daripada mulut. Abu Bakar as-Siddiq pernah menunjukkan lidahnya kepada seseorang lantas berkata: “Inilah mendatangkan hal-hal kebinasaan kepadaku.”

Sebab itu pepatah orang tua ada mengingatkan ‘kerana mulut badan binasa’. Justeru bila bercakap perlu berhati-hati agar tidak terkeluar perkataan mendatangkan keburukan. Sepatah perkataan terkeluar, sukar untuk ditarik balik.  Maka ingatlah kata-kata ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa”.

Seorang pemikir Islam, Ibnu Thaus mengumpamakan lidahnya seperti binatang buas yang jika dilepas bebas nescaya akan memakan dirinya sendiri. Maka, harus lidah itu dijaga dengan sebaik-baiknya agar tidak terlepas kata yang membinasakan diri sendiri.

Sebab itu soal menjaga mulut perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Menjaga mulut disamakan seperti menjaga agama. Ia menjadi lambang peribadi umat Islam yang mementingkan pekerti mulia. 

Mereka yang gagal mengawal mulut menyebabkan kerosakan kepada agama akibat kesannya. Perpecahan umat banyak berlaku disebabkan perbuatan saling mencabar menggunakan perkataan-perkataan buruk, umpat keji dan menjatuhkan maruah.

Perpecahan di kalangan umat Islam dapat melemahkan kesatuan dan kekuatan. Keadaan ini dengan mudah digunakan oleh musuh Islam untuk memburuk-burukkan Islam. Mereka dengan mudah menggunakan isu perpecahan umat Islam sebagai kelemahan ajaran Islam. 

Yakinlah, Islam agama kebaikan. Tidak ada satupun ajaran Islam mengajar kepada keburukan. Keburukan dan kelemahan itu dilakukan oleh umat Islam yang sifat imannya masih lemah dan kurang penghayatan kepada ajaran Islam. Ini termasuklah suruhan menjaga mulut yang kurang diambil perhatian oleh sesetengah orang Islam. 

No comments:

Post a Comment