Sunday 3 November 2019

DIBOLEHKAN KERAJAAN KUTIP CUKAI


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Ke-106 yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau ulul amri mengutip cukai seperti GST selagi terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat.

Berdasarkan dapatan yang dikemukakan, apabila kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, sememangnya akan timbul kemudharatan khusus, iaitu harta yang dimiliki rakyat berkurangan.

Namun, jika cukai tidak dikutip banyak maslahah umum tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan. Perkara ini berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah 'ditanggung kemudharatan khusus untuk mengelakkan berlaku kemudharatan umum.'

Justeru, kerajaan dibenarkan mengutip cukai untuk memenuhi maslahah umum. Bagaimanapun pelaksanaan berkenaan perlu menepati syarak berpandukan parameter berikut iaitu: kerajaan komited melaksanakan syariat Islam. kerajaan memerlukan sumber kewangan.

Cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi maslahah dharuriyyat dan hajiyat. Bebanan cukai dikutip secara adil. Cukai dibelanja untuk maslahah ummah bukan untuk maksiat. Agihan cukai bertepatan dengan ijtihad ulama semasa dan setempat.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan seterusnya menegaskan: GST boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur kesihatan, pendidikan dan kemudahan awam bagi meningkatkan taraf hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Ia juga adalah kaedah lebih baik dan cekap dalam memberi dana kepada hasil cukai negara yang akan disalurkan kepada projek pembangunan negara.

Sebahagian ahli ekonomi merumuskan GST mampu membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara dan membawa keutuhan kepada pendapatan kerajaan selain dapat memperbaiki kutipan hasil cukai dari sebahagian besar golongan yang terlepas atau sengaja melepaskan diri daripada membayar cukai.

Inilah faktor penting yang dianjurkan Islam bagi mewujudkan keadilan sosial dalam masyarakat dan saling bekerjasama (ta'awun) antara anggota masyarakat bersama membangunkan negara.

Masyarakat didirikan atas dasar berkenaan seperti firman Allah SWT mafhumnya: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa dan perseteruan." (Surah al-Maidah, ayat 2).

Ringkasnya Islam tidak menghalang umatnya mengejar pembangunan yang semestinya dicapai, diurus, ditadbir dan dimanfaatkan berlandaskan batas hukum yang dibenarkan.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa padahal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 188).

No comments:

Post a Comment