Sunday 16 February 2020

CARA KENAL JANTINA ANAK ITIK

Bagaimana nak membezakan jantina anak itik penelur atau itik khaki campbell? Kalau ikut Nujun Pak Belalang, untuk kenal jantina anak itik dengan cara meletakkan di dalam bekas air. Yang berenang di hadapan adalah betina dan yang di belakang itu jantan.

Semasa peringkat anak memang agak sukar untuk dikenali kecuali mereka yang bergiat dalam bidang pembenihan itik ini. Bagi orang awam, cara yang mudah untuk kenal jantina anak itik ialah apabila anak itik sudah penuh bulunya (berusia sebulan ke atas).

Caranya, perhatikan pada bunyi yang dikeluarkan, kalau itik itu berbunyi kuat, itu itik betina. Manakala itik jantan mengeluarkan bunyi yang perlahan seperti berbisik. Kepala itik jantan lebih besar dari betina. Badan itik jantan lebih tegap, itik betina kelihatan lebih kecil dan rendah.

Manakala ciri-ciri lain ialah mengikut pada ekornya. Hujung ekor itik jantan ada simpulan berbentuk seperti bulatan (seperti rambut kerinting), hujung ekor itik betina berbentuk lurus.

Memelihara itik telur bertujuan untuk mendapat telur. Sudah sudah pasti. Justeru ada penternak itik penelur tidak membiarkan itik betina dan itik jantan hidup bersama kerana itik betina penelur tidak memerlukan itik jantan untuk menghasilkan telur. Itik penelur jantan akan disembelih apabila sudah cukup besar.

Memang itik penelur betina tidak perlu kepada itik penelur jantan untuk menghasilkan telur. Namun, untuk mewujudkan satu masyarakat itik yang 'bahagia', elok jika diternak sama itik penelur jantan. Sediakan kira-kira 10 peratus itik penelur jantan dari jumlah itik keseluruhan yang dipelihara.

No comments:

Post a Comment