Friday 25 June 2021

KHASIAT POKOK MATA PELANDOK BETINA

Pokok mata ayam, juga dikenali sebagai pokok mata pelandok betina, pokok akar beluloh, pokok sirih puyoh dan beberapa nama lain mengikut tempat masing-masing ialah tumbuhan renek tropika dalam famili Myrsinaceae.

Berbatang berkayu ini mudah dijumpai tumbuh liar di kawasan kebun getah dan kawasan hutan hujan tropika. 

Ppokok mata pelandok betina berada dalam keluarga yang sama dengan kacip fatimah dan jika dilihat bentuk daunnya juga hampir menyerupai daun kacip fatimah.

Ia membiak melalui biji benih dan keratan batang. Tumbuhan jenis kekal ini boleh mencapai ketinggian hingga 1. 2 meter.

Daunnya berbentuk runcing dengan tepi yang bergerigis. Bunganya kecil berbentuk seperti bintang dan berwarna merah jambu.

Buahnya pula kecil berbentuk beri, berwarna merah darah dan berkilat apabila ranum.

Ia memerlukan saliran yang baik dan tanah yang lembab. Ia boleh ditanam di dalam pasu sebagai tumbuhan hiasan.

Buahnya boleh dimakan dan daunnya boleh dijadikan ulam. Ia juga sesuai ditanam sebagai tumbuhan pagar.

Pokok mata pelandok betina akan cantik merimbun jika selalu dipangkas. Tumbuhan ini berpotensi untuk dijinakkan menjadi tumbuhan hiasan yang menarik, malah selamat kerana buahnya tidak beracun dan boleh dimakan.

Tambahan pula pucuknya yang mempunyai rasa sedikit masam sedap dijadikan ulam.

Akarnya boleh digunakan untuk melegakan kesakitan (analgesik yang lemah).  Ia juga dapat menyingkirkan toksid dari badan dan menyucikan darah.

Akarnya juga dapat menurunkan demam panas dan melancarkan perjalanan darah. Caranya akar mata ayam direbus dan airnya diminum.

Daunnya pula boleh dijadikan penawar untuk sengatan binatang berbisa seperti lipan dan kala jengking. Caranya daunnya dilumatkan dan ditampal pada bahagian yang terkena gigitan.

Ia juga dikatakan dapat meneutralkan kesan keracunan dan merawat radang dan batuk.

No comments:

Post a Comment