Tuesday, 28 June 2022

CARA LUANG MASA BERSAMA KELUARGA

 
Setiap detik masa amat berharga. Ruang masa untuk bersama keluarga amat terbatas terutama apabila anak-anak sudah bersekolah, bekerja dan seterusnya berumah tangga.

Cuti hujung minggu dan cuti persekolahan merupakan peluang keemasan bagi ibu bapa mengukuhkan dan pererat hubungan mereka melalui kegiatan yang boleh dilakukan bersama anak-anak.

Namun, ada kalanya apabila ibu bapa terlalu tertumpu kepada keluarga mereka sendiri, hubungan yang selama ini telah dibina dengan anggota keluarga besar mungkin terabai.

Justeru, demi membina asas yang kukuh dalam membentuk keluarga yang berjaya, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh yang baik dari segi hubungan mereka bersama ibu bapa dan adik-beradik mereka sendiri.

Sesungguhnya amat penting mewujudkan suasana ikatan kekeluargaan untuk menambah rasa kasih sayang serta perpaduan antara anggota keluarga.

Mencari masa untuk diluangkan bersama ibu bapa dan adik-beradik menjadi lebih sukar selepas mempunyai keluarga sendiri, namun ini boleh ditangani jika masa diatur dengan bijak.

Mempunyai keluarga yang besar menjadikan lebih sukar untuk mengatur masa agar semua adik berada dapat berada bersama dan dalam keadaan tertentu dirasa seperti ‘mustahil’ diadakan.

Justeru, pendekatan setakat yang 'boleh' perlu digunakan. Biar tidak semua dapat menyertainya, adalah lebih baik daripada tidak diadakan langsung. Kesempurnaan tidak ditentukan hanya apabila semua dapat bersama.  

Adakan lebih kerap aktiviti keluarga agar yang tidak dapat menyertai pada satu-satu program, dapat menyertainya pada waktu lain, yang pada ketika itu mungkin ada pula yang lain tidak dapat menyertainya.

No comments:

Post a Comment