Rasulullah SAW membandingkan hubungan
mukmin dengan mukmin lain seperti batu-batu yang saling menguatkan satu sama
lain membina sebuah bangunan.
Jika ada mana-mana batu yang roboh, maka
kekuatan bangunan itu akan tergugat. Maka, setiap batu perlu kekal sebagai
sebahagian daripada bangunan itu bagi mengelak keseluruhan bangunan roboh.
Tolong menolong adalah sendi kekuatan hidup
bermasyarakat. Golongan kaya dan berkemampuan hendaklah sentiasa mengambil
berat menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dan memerlukan bantuan.
Firman Allah bermaksud: “Dan sentiasalah
tolong menolong dalam kebaikan dan yang mendorong kepada takwa serta jangan
tolong menolong dalam perkara membawa dosa serta permusuhan.” - (Surah
al-Maidah, ayat 3).
Sesiapa bersifat bongkak, sombong, mementingkan
diri dan takbur dengan kedudukan yang dicapai, maka bukanlah dia dari kalangan
orang Islam. Allah melaknat mereka yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut.
Firman Allah dalam surah Luqman, ayat 18
bermaksud: “Dan janganlah kamu palingkan pipimu daripada manusia dan jangan
berjalan di atas muka bumi dengan bongkak. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang yang sombong lagi bongkak.”
Sebarang bantuan yang diberikan dengan
ikhlas pasti diberikan balasan kebaikan di sisi Allah. Rasulullah menjelaskan pada
hari dibangkitkan, Allah akan berseru kepada sesiapa yang ketika hayatnya
sentiasa menjalinkan perasaan kasih sayang dan saling membantu sesama sanak
saudara, jiran tetanga dan orang ramai.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh
Muslim bermaksud: “Allah berseru: “Di manakah mereka yang berkasih sayang
dengan kebenaran mengenai hari akhirat? Aku memberi perlindungan kepadanya
dalam keadaan tiada lagi perlindungan selain daripada perlindungan-Ku.”
Memahami dan penghayatan konsep silaturahim
yang dianjurkan oleh Islam perlu dipertingkatkan bagi mengelak perpecahan dan
seterusnya mencari keredaan Allah.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Allah telah
reda kepadamu terhadap tiga perkara iaitu apabila kamu menyembah-Nya tanpa
mensyirikkan-Nya dengan sesuatu, apabila kamu berpegang teguh dengan agama
Allah dan tidak berpecah-belah dan apabila kamu suka menasihati orang yang
telah ditakdirkan menjadi pemimpin kamu.” - (Hadis riwayat Muslim).
Perbalahan sesama sendiri hanya memberi
keburukan kedua-dua pihak. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Sebaliknya, pihak
musuh pula mendapat keuntungan di atas kemusnahan pihak bermusuhan.
Justeru, cara menjaga agama yang terbaik
ialah melalui perpaduan seluruh umat Islam. Firman Allah bermaksud:
“Tegakkanlah Din (agama) dan janganlah kamu berpecah-belah mengenainya.” -
(Surah asy-Syura, ayat 13).
No comments:
Post a Comment