Monday 6 January 2020

MENGAPA DINAMAKAN IKAN BEKOK

Ramai juga yang tertanya-tanya mengapa dipanggil ikan bekok atau ike bekok bagi merujuk kepada ikan yang diproses hasil rendaman bersama garam semalaman sebelum dijemur selama empat jam di bawah sinar matahari.

Ikan bekok dihasilkan daripada pelbagai jenis ikan, namum paling mendapat permintaan ialah ikan bekok gelama, ikan bekok cencara atau ikan bekok konge dan ikan bekok kerisi.

Dengan kata lain, ikan bekok bukan sejanis atau spesis ikan, tetapi ikan yang telah diproses.

Ikan bekok seakan-akan seperti ikan kering. Namun ciri-ciri utama ikan bekok ialah ia tidak kering sepenuhnya seperti ikan kering.

Keadaan isi ikan yang masih tidak sepenuhnya kering dan mengandungi air itu dinamakan bekok dalam istilah dialek Kelantan.

Selain itu maksud 'bekok' juga adalah perbuatan memerap atau merendam sesuatu di dalam air untuk tempoh sekejap untuk agar air meresap masuk.

Inilah proses membuat atau menghasilkan ikan bekok yang mana ikan yang telah disiang dan dibersihkan akan diredam selama beberapa jam di dalam air garam. Air garam itu akan meresap masuk ke dalam isi ikan.

Maka, nama ikan bekok diambil dari dua sebab iaitu keadaan ikan yang tidak sepenuhnya kering dan masih membengkak, dan sebab kedua ialah proses merendam sekejap.

Namun, nama ikan bekok lebih tepat merujuk kepada keadaan yang pertama iaitu tidak sepenuhnya kering dan masih membengkak. Nama ikan bekok perlu diguna untuk membezakan dengan ikan kering yang sepenuhnya berada dalam keadaan kering.

No comments:

Post a Comment