Thursday 20 July 2023

KONSEP SEBUAH NEGARA ISLAM

 
Negara ialah satu konsep yang merujuk kepada kawasan yang mempunyai tanah, penduduk, sisterm politik dan undang-undang. Dalam bahasa Arab, negara disebut “daulah” dan istilah “dar” pula digunakan dalam rujukan awal karya sarjana Islam yang terdahulu.
 
Pembentukan negara Islam adalah suatu tuntutan fardu kifayah. Ianya berkaitan dengan  perlaksanaan syariah dan tidak dapat dilaksanakan tanpa wujudnya sebuah negara dan politik. Manakala tuntutan syariah pula menjadi kewajipan ke atas setiap muslim dan mewujudkan negara Islam juga adalah suatu yang wajib.
 
Apabila satu negara menegakkan hukum Islam dan diperintah oleh orang-orang muslim maka secara automatiknya negara itu akan diktiraf sebagai sebuah negara Islam walaupun majoriti penduduknya adalah bukan muslim.
 
Bukti secara jelas di sini berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang mana sebelum berlaku penghijrahan baginda ke Madinah, Makkah dan seluruh dunia adalah sebuah darul kufur.
 
Selepas Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya berhijrah ke Madinah dan menegakkan Daulah Islamiyyah, maka wujudlah sebuah negara Islam yang pertama dalam sejarah kaum muslim. Rasulullah sendiri telah dilantik sebagai ketua negara dan hukum-hukum Islam telah diterapkan secara jelas dan jaminan keselamatan dalam dan luar negeri berada di bawah tangan kaum Muslim.
 
Terdapat sebuah hadis yang bermaksud: Serulah mereka pada Islam. Jika mereka menyambutnya, terimalah mereka, dan hentikan peperangan atas mereka, kemudian ajaklah mereka berpindah dari negerinya (darul kufur) ke darul muhajirin (berpusat di Madinah) dan beritahukan kepada mereka bahawa jika mereka melakukan semua itu, maka mereka akan mendapat hak yang sama sebagaimana yang dimiliki kaum muhajirin, dan juga kewajiban yang sama seperti halnya kewajiban kaum muhajirim (Hadis riwayat Muslim).
 
Takrif negara Islam tidak diberikan oleh ulama tradisional dan topik perbincangan mereka adalah sekitar ciri-cirinya seperti perbincangan tentang ketua negara, syarat-syaratnya, cara pemilihannya, tugasnya dan perkara yang berkaitan dengan pentadbiran negara.
 
Perbincangan mengenai definisi negara Islam hanya wujud pada zaman sekarang. Istilah ini mula diperkenalkan oleh Muhammad Rashid Rida dalam bukunya “Al-Khilafah wa al-Imamah”.  
 
Sayyid Qutb dalam “Fi Zilal al-Quran” (1994) ketika membicarakan persoalan ini berkata bahawa negara Islam ialah sebuah negara yang menjalankan undang-undang Islam serta berhukum dengan syariat Islam sama ada penduduknya semua muslim atau muslim dengan ahli zimmah.  
 
Abu Zahrah (1995) dalam membincangkan konsep negara Islam dan bukan Islam membawa beberapa pandangan ulama yang terkenal antaranya pandangan Abu Hanifah yang berpendapat bahawa negara bukan Islam ialah ada tiga syarat iaitu: Hukum bukan Islam dilaksanakan di negeri tersebut seperti amalan riba, arak, judi dan babi, negeri itu tidak ada perhubungan langsung dengan orang Islam. Malah di segi geografinya terhalang daripada negara Islam. Kalau kawasan bukan Islam itu ada hubungan dan dikelilingi oleh kawasan Islam ia bukannya Dar-al-harb. Tidak ada di sana seorang Islam pun yang boleh hidup dalam keamanan sebagaimana keamanan Muslim awal (al-Muhajirin) dengan pengikut-pengikutnya.
 
Di sini Abu Hanifah berpendapat bahawa negara Islam ialah negara yang melaksanakan hukum Islam atau orang Islam atau dhimmi berada di bawah pemerintahan Islam atau pemerintah Islam.
 
Berdasarkan huraian di atas Abu Zahrah membuat kesimpulan bahawa pentafsiran fuqaha tentang negara Islam dan bukan Islam terdapat dua iaitu negara Islam diasaskan kepada perjalanan dan perlaksanaan hukum Islam serta sistemnya.
 
Ibn Qaiyim berpendapat bahawa kebanyakan ulama menyatakan bahawa negara Islam ialah negara yang diduduki oleh kaum muslimin dan menjalankan undang-undang Islam, jika tidak menjalankan undang-undang Islam maka ianya bukanlah sebuah negara Islam. Fuqaha telah bersepakat menyatakan negara Islam itu mestilah wujud kekuasaan politik pemerintahan di tangan orang Islam.
 
Di dalam kitab “Nazariyat al-Islam wa Hadyuhu” (hal.35) Maududi mentakrifkan negara Islam ialah negara yang kuasa mutlaknya pada Allah SWT yang menentukan syariat itu dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.  

No comments:

Post a Comment