Monday 9 October 2023

ISI BUAH TAL SEDAP DIMAKAN

  
Isi buah tal mendapat permintaan tinggi peminatnya. Rasanya sangat unik, memberi kepuasan kepada penggemarnya. Sebab itu, biarpun harganya meningkat naik berbanding sebelum ini, permintaan terhadap isi tal masih tinggi. Bahkan ada ketikanya permintaan melebihi penawaran.
 
Buah Tal berbentuk agak bulat dengan warna ungu kehitaman yang berukuran 7-10 cm garis pusat. Dalam buah ada lapisan tempurung lembut di mana isinya berwarna jernih seperti 'jelly' yang lembut dan enak dimakan ketika muda. Isi yang telah matang agak keras juga.
 
Untuk mendapatkan isi tal, buahnya perlu dibelah dan dicungkil isinya. Ada selaput mengasingkan sabut dengan isinya.
 
Isi buah tal rasanya hampir sama dengan isi kelapa muda tapi teksturnya lebih kenyal. Selain dimakan segar, isinya boleh dijadikan jus. Hiris isi tal nipis-nipis dan masak bersama dan gula. Boleh dicampur madu dan ais untuk menambahkan lagi keenakan rasanya.
 
Selain enak dimakan, buah tal juga kaya khasiat:
- Melegakan kesakitan hempedu dan limpa.
- Mengatasi masalah kencing tak terkawal.
- Menyegarkan nafas, menyihatkan gigi dan gusi.
- Mengatasi masalah pernafasan dan paru-paru.
- Mengubati luka-luka.
 
Pokok tal tumbuh subur di negara kita. Namun, tidak ada ladang tal diusahakan secara komersial. Buah tal yang dipasarkan di negara kita kebanyaknnya diimport dari Thailand.
 
Pokok tal sejenis pokok palma. Nama lain pokok tal ialah pokok kelapa laut. Di Kelantan ada nama Kampung Tal Tujuh. Pokok tal juga dipanggil pokok siwalan, pokok tah dan pokok tai.
 
Satu lagi nama pokok tal yang jarang disebut ialah pokok lontar. Lambang atau logo Dewan Bahasa dan Pustaka adalah menggunakan gambar pohon lontar yang pada masa dahulu dijadikan kertas tulis. 
 
Daun tal lebih keras berbanding daun kelapa. Jadi, daun tal biasa dijadikan sebagai pelidah serunai. Pelidah juga dipanggil pipit atau lidah serunai. Daun tal juga dijadikan lingkaran untuk membentuk gula melaka, gula kabung atau gula melaka.  
 
Pokok tal merupakan sejenis tumbuhan mempunyai satu batang yang tumbuh menegak tanpa cabang seperti pokok kelapa.
 
Pokok tal boleh mencapai ketinggian maksimum 30 meter, batangnya berwarna kelabu dengan parut pangkal daun yang sudah gugur. Daun-daun pelepahnya berbentuk kipas 3 meter lebar dengan hujung berwarna kehitaman di tiap petiol.
 
Pokok tal mempunyai batang berbentuk selinder yang lebih besar dari batang kelapa. Kayu bahagian luar batang pokok tal bermutu baik dan keras digunakan sebagai bahan bangunan atau pertukangan alat.
 
Pokok jantan dan pokok betina tal wujud secara berasingan. Bunga pokok jantan berbentuk pudung lonjong setiap kuntum manakala bunga betinanya berbentuk bulat.
  
Pembiakan dan penanaman pokok tal menggunakan biji benih iaitu sama seperti buah kelapa dan kelapa sawit. Lazimnya biji tal matang yang jatuh di bahagian pangkal pokok akan tumbuh sendiri di keliling pokok asal. 
 
Seperti pokok palma lain, pokok tal juga mengeluarkan air tuak atau air nira. Daripada air nira tal boleh dibuat manisan atau dipanggil nise tal atau gula tal.

 


No comments:

Post a Comment