Friday 29 September 2023

AMBIL KESEMPATAN MASALAH BEKALAN BERAS

 
Masalah bekalan beras berpunca negara tidak mampu menyediakan sepenuhnya bekalan beras tempatan dan masih perlu mengimport dari luar negara untuk memenuhi keperluan dalam negara.
 
Namun, apabila ada negara pengeksport beras menghentikan eksport besar atas beberapa faktor, bekalan beras di dalam negara kita akan berkurangan.
 
Jangan anggap pihak kerajaan dan jentera kerajaan tidak cakna atau sekadar berdiam diri mengenai isu kekurangan bekalan beras di pasaran negara ini.
 
Hakikatnya, pihak kerajaan sudah dan sedang berusaha untuk memastikan bekalan beras di rumah rakyat tidak akan terputus, memandangkan ia merupakan makanan ruji rakyat di negara kita.
 
Harus diingat bahawa beras putih tempatan (BPT) adalah bahan kawalan pada harga RM26 bagi setiap 10 kilogram. manakala harga beras putih import pula tidak dikenakan kawalan harga. Harga beras putih import ditentukan harganya oleh pengedar berdasarkan kepada konsep permintaan dan penawaran.
 
Malang sekali ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menukar kampit beras putih tempatan yang harganya dikawal kepada kampit beras putih import di peringkat pengilang atau pemborong seperti yang telah dikesan dalam beberapa operasi bersepadu pihak berkuasa.
 
Tujuan mereka bagi mendapatkan keuntungan berganda atas keperitan yang dihadapi rakyat di bawah. Mereka yang melakukan perbuatan tersebut sebenarnya hilang nilai integriti. Mereka "menangguk di air keruh" sehingga menyebabkan rakyat menjadi mangsa.
 
Harga yang meningkat dan bekalan berkurangan menjadikan rakyat “panik” dan marahkan kepada kerajaan. Keadaan ini jika tidak dibendung boleh menimbulkan kekacauan di dalam negara.
 
Jadilah peniaga yang bertanggungjawab. Jauhi sikap tamak dan memanipulasikan keadaan masalah bekalan beras.
 
Bekalan makanan untuk keselamatan negara
https://bicaramentari.blogspot.com/2018/10/jhs.html

No comments:

Post a Comment