Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah
SWT mempunyai tujuan dan tanggungjawab yang jelas. Allah berfirman dalam surah
Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia
melainkan untuk beribadat kepada-Ku.”
Ayat ini mengingatkan bahawa setiap detik
dalam kehidupan kita adalah sebahagian daripada ujian untuk melihat sejauh mana
kita mampu menjaga amanah Allah, menjalani hidup dengan penuh ketakwaan, dan
menghindari godaan dunia.
Kekayaan sering dianggap sebagai nikmat,
tetapi dalam perspektif Islam, kekayaan adalah amanah dan ujian dari Allah SWT.
Tidak sedikit kisah dalam al-Quran yang menceritakan bagaimana umat terdahulu
yang gagal dalam menghadapi ujian kekayaan, yang akhirnya membawa kepada
kemusnahan dan kemurkaan Allah SWT.
Kekayaan, walau sebesar mana sekalipun,
seharusnya digunakan untuk jalan yang diredai Allah dan tidak untuk
kemungkaran.
Banyak individu dikurniakan kekayaan,
tetapi terus tamak untuk mendapat lebih banyak lagi sehingga melakukan perkara
yang menyalahi norma-norma kehidupan. Selain itu, harta dibelanja dengan cara
yang mewah dan sombong yang ingin menunjukkan betapa dia boleh berbelanja
sesuka hati mengikut apa yang diingini.
Gaya hidup mewah dikongsi di media sosial
mendapat pujian banyak pengikutnya sehingga kononnya dijadikan idola dan inspirasi.
Maka bertambah-tambahlah sikap sombong dan ankuh di dalam diri apabila banyak
yang memuji dan menyokongnya.
Kehidupan duniawi yang menggiurkan
kadang-kala boleh membutakan mata dan hati, sehingga seseorang boleh lupa
bahawa segala amanah dan rezeki yang diperoleh perlu dijaga dengan baik.
Tindakan yang melibatkan penyelewengan atau
penipuan sebenarnya adalah satu bentuk kegagalan dalam menghadapi ujian Allah
SWT. Kekayaan yang diraih dengan cara yang tidak halal adalah tidak berkat dan
akhirnya tidak akan memberikan kebahagiaan sejati.
Allah SWT menguji setiap hamba-Nya untuk
melihat sejauh mana mereka dapat mengendalikan nafsu dan keinginan. Apabila
seseorang gagal dalam ujian kekayaan, ia bukan hanya mendatangkan kerugian
kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain dan negara.
Sesungguhnya, kita semua diuji dengan cara
yang berbeza-beza, sama ada melalui kekayaan, kesusahan, atau kesenangan.
Namun, yang paling penting adalah bagaimana kita menghadapinya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah
tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya,” (Surah
al-Baqarah, ayat 286)
Setiap kali kita diuji, sama ada melalui
rezeki atau kesempitan hidup, ingatlah bahawa tujuan utama kita di dunia ini
adalah untuk beribadat dan menjaga amanah Allah SWT. Semoga kita semua
diberikan ketabahan dan kebijaksanaan untuk menghadapi ujian dengan penuh
kesabaran dan keimanan.
No comments:
Post a Comment