Tugas seorang umat Islam di atas dunia ini
tidak lain dan tidak bukan adalah mencari keredaan-Nya menerusi jalan
perhambaan dan sentiasa mengejar kebaikan sama ada sesama manusia mahupun
dengan makhluk lain termasuk binatang sekali pun.
Sebagai Mukmin, misi utama kita semua adalah
mencari keredaan dan usaha itu perlu dilakukan tanpa mengenal lelah.
Kehidupan di dunia ini adalah sementara dan
lelah mencari keredaan daripada Tuhan Pencipta Alam adalah sangat berbaloi demi
kehidupan abadi di akhirat.
Menerusi firman Allah SWT bermaksud:
“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan
sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta terus takut dan mereka
pula sentiasa khusyuk kepada kami.” (Surah al-Anbiya’, ayat 90)
Mukmin yang berhemah tinggi tidak sedia
menerima kedudukannya pada tempat yang rendah, dia sentiasa berusaha mendapat
tempat yang tinggi dan dihormati.
Dunia ini pada hakikatnya tempat Mukmin
berlumba menuju kemenangan, kejayaan dan kecemerlangan.
Rasulullah SAW bersabda dengan maksud:
“Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada, ikutilah perbuatan buruk
dengan perbuatan baik, nescaya akan jadi penggantinya dan berinteraksilah
sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Ia jelas memberi gambaran setiap daripada
kita seharusnya sentiasa mengamalkan akhlak terpuji dan meneladani keperibadian
Baginda SAW dalam menyantuni kawan serta lawan dengan penuh hikmah.
Pendekatan itu secara tidak langsung akan
memikat hati orang bukan Islam untuk mempelajari nilai positif yang ditampilkan
sekali gus meramaikan umat Nabi SAW.
Mukmin itu terbahagi kepada dua golongan
iaitu Mukmin yang kuat, teguh dan tulen imannya manakala golongan kedua adalah
mukmin yang lemah imannya.
Sesungguhnya, Mukmin yang kuat serta teguh
imannya ialah Mukmin yang bukan saja beriman kepada Allah SWT dengan hati serta
mengakui secara lisan, bahkan melaksanakan segala perintah Allah SWT serta
menjauhi segala larangan-Nya.
Manakala Mukmin yang lemah imannya pula ialah
orang mukmin yang sekadar percaya iaitu beriman kepada Allah SWT dengan
hatinya, mempercayai dan membenarkan adanya Allah SWT, mengakui dengan lisan
dengan mengucap dua kalimah syahadah, tetapi cara hidup dan tingkah laku mereka
bercanggah dengan akhlak dan syariat Islam.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang
maksudnya: “Orang Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah
daripada orang Mukmin yang lemah.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).
Oleh
Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin
No comments:
Post a Comment