Tuesday 12 June 2018

CARA AMALAN SAMBUT AIDILFITRI

Amalan ziarah menziarahi, mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan perpaduan sesama insan amat penting. Kadang-kadang, ada yang tidak pernah bertegur sapa selama bertahun-tahun lamanya atau tidak pernah berkunjung ke rumah saudara mara selama sekian lama. Maka, inilah masa terbaik untuk kita menjalinkan semula ikatan silaturahim sesama kita. 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menginginkan agar murah rezeki dan dilanjutkan ajalnya, maka hubungkanlah silaturahim." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di antara sunah Nabi SAW dalam menyambut Aidilfitri dengan banyak bertakbir, bertahmid, bertasbih dan bertahlil seawal bermulanya malam 1 Syawal. Ia dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama keluarga. Bahkan pada zaman Rasulullah SAW, takbir itu dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.

Kita patut membersih atau mengemas diri seperti menggunting rambut di bahagian kepala dan anggota badan agar tampil kemas, segak dan bergaya pada hari raya mulia. Dalam hal ini, bau-bauan yang harum seperti minyak wangi, atar dan sebagainya juga digalakkan bagi meraikan hari mulia ini.

Mandi juga disunatkan pada pagi 1 Syawal sebagaimana dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar di dalam kitab al-Muwatta', bahawa Rasulullah SAW mandi pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda bertolak ke masjid.

Disunatkan juga makan terlebih dahulu sebelum berangkat ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri berpandukan hadis Anas bin Malik yang menjelaskan bahawa Baginda SAW makan kurma dengan bilangan yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Acara yang paling kemuncak pada Hari Raya Aidilfitri ini adalah solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbahnya. Sunat pula pergi menunaikan solat itu dalam keadaan berjalan kaki sebagaimana mafhum hadis Ali bin Abi Talib dalam Sunan Tirmizi. 

Cuma bagi yang agak jauh jarak rumah ke masjid, maka bolehlah mereka menaiki kenderaan kerana agama Islam bersikap terbuka dalam bab ini.

Baginda juga menyuruh seluruh umat Islam datang ke lapangan terbuka agar mendengar khutbah hinggakan kepada kaum wanita, tidak kira yang tua atau muda, yang uzur atau sebaliknya. Cuma mereka yang uzur diarahkan agar berada di luar masjid kerana halangan keuzuran tersebut seperti riawayat Ummi Atiah dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

Pada pagi hari raya yang indah ini juga, sunat bagi kita memakai pakaian yang terbaik dan tercantik. Imam Baihaqi ada menyebutkan bahawa Ibnu Umar menjelaskan bahawa baginda Rasulullah SAW mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi meraikan kedua-dua hari kebesaran Islam; Aidilfitri dan Aidiladha.

Menurut ketentuan sunah, pada Hari Raya Aidilfitri, kita dianjurkan mengucapkan "taqaballahu minna wa minkum" yang bermaksud "mudah-mudahan Allah menerima ibadah puasa yang baru kita laksanakan".

Selain itu, sudah menjadi kebiasaan kita saling mengucapkan "minal aidin wal faizin" yang bererti "mudah-mudahan Allah menjadikan kita orang yang kembali dari medan perang dengan memperoleh kemenangan yang besar".

Diceritakan bahawa mengucapkan minal aidin wal faizin itu adalah kebiasaan para sahabat di zaman dahulu kerap mengucapkan kata-kata itu apabila mereka kembali dari medan perang dengan mengibarkan bendera kemenangan.

Namun, dalam masyarakat kita, ucapan yang lebih kerap diucapkan ialah ungkapan "selamat hari raya". Tidak salah ucapan itu, tetapi dalam segi maksudnya tidak membawa apa-apa erti. Kosong. Justeru lebih elok kita ucapkan "taqaballahu minna wa minkum" dan "minal aidin wal faizin".

Pada hari mulia ini masa yang paling baik untuk bermaaf-maafan. Segala yang keruh dibuang, sebaliknya ambillah yang jernih. Islam amat mengutamakan amalan memberi kemaafan untuk melahirkan hidup yang sejahtera dan harmoni. Dosa melibatkan sesama manusia hanya terampun jika mendapat kemaafan daripada orang berkaitan.

Hakikatnya tidak ada masa tertentu atau musim yang khusus untuk kita bermaaf-maafan. Cuma apabila berada pada hari kebesaran Islam, hari kedamaian dan hari kegembiraan umat Islam, eloklah kita menggunakan kesempatan bermakna ini, untuk mengikis perasaan ego dan takbur diri dengan memaafkan segala kesalahan saudara-saudara kita.

Dalam sepotong hadis, Baginda bersabda maksudnya: "Harta itu tidak akan luak atau berkurangan akibat sedekah, tidaklah bertambah di sisi Allah bagi seseorang yang sudi memaafkan, melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang merendah diri melainkan akan diangkat oleh Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Aidilfitri juga merupakan hari perdamaian. Justeru, perdamaian hidup sama ada dalam rumah tangga, hubungan sesama kaum kerabat atau sanak saudara dan rakan taulan serta seluruh kaum Muslimin, sama ada di desa mahu pun kota, semuanya menyambut kedatangan Syawal mulia ini dengan wajah berseri-seri, hati yang girang dan tangan bersalam-salaman mengucapkan Selamat Aidilfitri sambil bermaafan. 

Baginda bersabda kepada salah seorang sahabat dalam sepotong hadis bermaksud: "Wahai Uqbah! Mahukah aku nyatakan padamu sebaik-baik akhlak penduduk dunia dan akhirat? Iaitu kamu memaafkan orang yang telah menganiaya dirimu. Kamu memberi atau menolong orang yang telah memutuskan pemberiannya kepada kamu dan kamu menghubungkan silaturahim dengan orang yang telah memutuskan perhubungan denganmu." (Riwayat al-Hakim dalam Kitab al-Mustadrak)

Dalam kita bermaaf-maafan itu, adakah perlu mengikut hierarki, seperti yang muda kepada yang tua dan sebagainya ataupun apabila kita merasa telah melakukan kesilapan, tidak kira usia kita terus meminta maaf?

Setiap makhluk bernama manusia tidak terlepas daripada dosa dan kesalahan, sama ada kepada Tuhan atau sesama makhluk, khususnya sesama manusia. Sama ada dosa itu secara sedar atau tidak, zahir mahu pun batin.

Bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW. yang bermaksud: "Setiap anak Adam itu pasti akan melakukan kesalahan, namun sebaik-baik orang yang telah melakukan kesalahan itu adalah mereka yang bertaubat atau memohon ampun (iaitu kepada Allah dan saudaranya yang lain). (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Kesalahan sesama manusia terjadi sama ada berbentuk penganiayaan, pengambilan hak secara tidak sah, umpatan (kata-kata di belakangnya), kata nista dan sebagainya. 

Sekiranya ia bersangkutan dengan pengambilan hak orang lain tanpa jalan yang halal atau izin tuannya, seperti mencuri atau merampas hak orang lain, maka ia harus dipulangkan kembali, melainkan sekiranya ia dimaafkan atau dihalalkan oleh saudaranya.

Adapun kesalahan selain itu seperti umpatan, kata nista dan seumpamanya, ia dapat diluputkan atau dilangsaikan dengan bermaaf-maafan. 

Justeru, hari baik dan bulan baik inilah waktu yang paling bermakna untuk kita saling bermaaf-maafan dan reda-meredai agar makna agung 'al-Fitri', iaitu kembali kepada fitrah dan kesucian diri dapat dimanifestasikan dalam kehidupan masyrakat kita seluruhnya.

Tindakan memohon ampun dan maaf daripada ibu bapa sekadar menggunakan medium SMS dan Whatsapp, adalah sangat tidak wajar dan dilihat sebagai suatu bentuk layanan dan perhubungan yang biasa sahaja, seperti perhubungan dengan rakan dan taulan, bahkan ia tidak menggambarkan status ibu bapa di tempat yang mulia.

Oleh itu, lahirkanlah layanan yang istimewa dan cinta yang setinggi-tingginya kepada semulia-mulia insan dengan mencium tangan ibu bapa tersayang pada hari mulia ini. 

Namun, sekiranya ada halangan yang membataskan hal tersebut, sekurang-kurangnya gunakanlah medium telefon untuk ucapan selamat hari lebaran dan memohon ribuan kemaafan.

No comments:

Post a Comment