Semua
pelajar boleh berjaya, tetapi mengapa tidak melakukan usaha ke arah tersebut. Ada
pelajar awal-awal lagi mengatakan tidak yakin dapat mencapai keputusan
cemerlang. Mereka memberi alasan dangkal
untuk menyokong sikap negatif itu.
Hakikat
sebenarnya, semua pelajar berpeluang untuk berjaya dan tidak salah mengatakan
‘aku mesti berjaya mendapat 10A dalam SPM nanti”. Tidak ada batasan atau halangan yang
diletakkan oleh pihak lain untuk menghalang kejayaan itu, melainkan sikap
pelajar sendiri. Malah pihak lain seperti ibu bapa, keluarga, guru, pemimpin
dan ahli masyarakat mengharapkan kejayaan pelajar serta sanggup menghulurkan
bantuan untuk merelisasikan impian itu.
Kejayaan
dalam semua perkara berkait rapat dengan disiplin diri. Pelajar yang ingin
berjaya mesti berdisiplin melakukan usaha dan tindakan yang berkaitan untuk
mencapai apa yang diarapkan. Itulah yang menjadi cabaran utama yang membezakan
antara pelajar cemerlang dengan yang gagal.
Kemampuan
pelajar dalam faktor lain boleh dikatakan sama. Otak yang cerdas, guru yang
dedikasi, kemudahan pembelajaran mencukupi dan peluang sama rata. Hanya pelajar
berdisiplin mampu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang dimiliki itu dan
mencapai kejayaan cemerlang.
Pelajar
perlu membina kekuatan disiplin sejak awal tahun. Buat persiapan awal seperti
peperiksaan sudah hampir. Jangan amalkan sikap bertangguh membuat persiapan
pada saat-saat akhir yang menyebabkan kebanyakan pelajar kecundang.
Perbuatan
bertangguh diumpamakan seperti memperjudikan nasib. Kita tidak tahu apa yang
bakal berlaku pada tempoh waktu hampir dengan peperiksaan nanti. Mungkin banyak
perkara atau kejadian tidak diduga berlaku sehingga mengganggu persiapan akhir.
Ketika itu sesal tidak berguna lagi.
Kejayaan
dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat penting menentukan
perjalanan hidup yang masih jauh. Kegagalan dalam SPM, bermakna tertutup
peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Peperiksaan SPM adalah
kemuncak alam persekolahan.
Memang
pelajar yang gagal mendapat keputusan SPM cemerlang masih berpeluang menduduki
sekali lagi peperiksaan itu, tetapi mengapa kita memilih jalan itu sedangkan
peluang mendapat keputusan cemerlang pada percubaan pertama masih ada.
Sebenarnya
persiapan menduduki SPM bukan perlu dilakukan pelajar Tingkatan Lima saja. Pelajar
di Tingkatan Empat juga kena mendisiplinkan diri seperti akan menduduki
peperiksaan SPM pada tahun ini. Jangan jadikan ketika di Tingkatan Empat
sebagai tahun bulan madu atau rehat habis. Ini kerana sukatan pelajaran di
Tingkatan Empat juga termasuk dalam peperiksaan SPM dan peratusannya adalah
sama banyak dengan Tingkatan Lima.
Masa
sentiasa beredar. Jika tidak dilakukan perkara berfaedah, kehidupan ini jadi
sia-sia. Masa di Tingkatan Empat telah ditetapkan sukatan pelajaran yang perlu
dipelajari. Ia tidak akan diulang lagi ketika Tingkatan Lima.
Seluruh
masa di Tingkatan Lima adalah untuk sukatan mata pelajaran pada tahun
berkenaan. Guru tidak tidak akan mengulang semula sukatan Tingkatan Empat
ketika masa kelas biasa. Lainlah jika pada waktu kelas tambahan atau
tuisyen.
Jika
pelajar tidak memberi perhatian ketika di Tingkatan Empat, maka separuh
daripada sukatan mata pelajaran untuk peperiksaan SPM tidak dapat dikuasai. Usaha
mempelajari secara serentak sukatan pelajaran Tingkatan Empat dan Lima dalam
tahun yang sama bukan satu tugas yang mudah.
Pelajar
dinasihatkan belajar secara bijak. Buat perancangan teliti dan bersistematik. Cara
ini dapat membantu memahami dan mengingati pelajaran dengan lebih mudah dan
berkesan. Ada pelajar tekun belajar sejak awal lagi, tetapi tidak menepati cara
belajar secara bijak.
Satu
amalan penting ialah membuat nota secara sistematik. Setiap kali guru mengajar,
catatkan nota sementara. Apabila ada ruang masa, dapatkan buku rujukan tambahan
untuk menyediakan nota lebih lengkap.
Nota
tersebut hendaklah dibuat di atas kertas yang sesuai untuk digunakan sehingga
masa peperiksaan. Elok jika ia kertas tebal yang dikerat dalam ukuran kecil
atau kad yang mudah dibawa ke mana-mana. Setiap kad untuk satu tajuk atau sub
tajuk. Jangan terlalu berkira hendak berjimat hingga menulis beberapa tajuk
dalam satu kad.
Persediaan
nota secara berkala dapat membatu mengagih-agihkan masa penyediaan nota. Selalunya
menjelang peperiksaan, baru pelajar kelam-kabut buat nota. Keadaan begitu
menimbulkan kecemasan yang selalunya membawa akibat yang buruk. Apabila jiwa
tak tenteram fikiran dan ingatan kita terganggu.
Ketika
hampir masa peperiksan bukan lagi masa membuat nota. Bukan lagi masa sesuai
untuk membalik-balik buku teks yang tebal-tebal itu. Ketika itu semua nota
sepatutnya telah lengkap. Masa saat akhir sepatutnya untuk mengukuhkan
kefahaman dan ingatan terhadap sesuatu tajuk.
Persediaan
nota awal dapat memudahkan mula mengingati fakta-fakta yang dipelajari dari
awal lagi. Apa yang telah tersedia di dalam nota diulang baca atau membuat
latihan. Ini dapat membantu proses mengingati.
Ketika
hampir peperiksaan, tidak perlu lagi buat nota baru, jika segala nota sebelum
ini telah dibuat secara langkap. Semuanya telah tersedia dari awal. Perasaan
lebih aman dan penuh keyakinan. Nota dan ingatan yang kemas sedia untuk
dicuruhkan ke atas kertas jawapan. Kita tak cemas dan bersedia menghadapi
peperiksaan dengan yakin.
Jadilah
pelajar berdisiplin dan jangan bertangguh membuat persediaan menghadapi
peperiksaan. Anggaplah belajar satu perkara paling menyeronokkan. Ketekunan
menghadap pelajaran adalah satu nikmat bagi pelajar yang mempunyai aspirasi
tinggi untuk mencapai tahap tertinggi dalam peperiksaan.
Apabila
ketekunan dan disiplin telah sebati dalam diri, sikap negatif akan semakin
lemah dan akhirnya hilang dari diri. Sebaliknya nilai-nilai baik semakin kuat
bukan setakat berkaitan dengan tugas sebagai pelajar, bahkan dalam hal-hal
lain.
Pelajar
mesti mempunyai sikap bersaing di kalangan rakan-rakan. Wujud sikap dengki
dengan kejayaan kawan dan kita juga ingin mencapainya. Sikap bersaing atau
dengki secara ini dibenarkan dalam Islam dan sepatut dijadikan amalan. Kita
ingin mendapat kejayaan sama seperti orang lain tanpa kita merosakkan kejayaan
orang lain. Kejayaan itu kita raikan bersama-sama ada mendapat manfaatnya.
No comments:
Post a Comment