Sunday 8 July 2018

ISTANA BALAI BESAR KOTA BHARU

Istana Balai Besar bangunan bersejarah di Kota Bharu yang menjadi permulaan bandar Kota Bharu. Istana Balai Besar dipercayai mula dibina pada tahun 1844 oleh Sultan Muhammad II.

Pembinaan Istana Balai Besar ini telah dibina oleh tukang mahir di Kelantan dan diketuai oleh tukang mahir yang berasal dari Terengganu iaitu Muhammad Salleh yang juga menetap di Pasir Mas. Pada masa itu, Muhammad Salleh merupakan satu-satunya orang yang berpengalaman dalam membuat ukiran.

Nama Kota Bharu yang menjadi ibu negeri Kelantan dipercayai merujuk kepada Istana Balai Besar yang dikenali sebagai 'kota baharu'. Istana Balai Besar dibina bagi menggantikan Kota Saba yang terletak berhampiran Sungai Kelantan yang musnah akibat hakisan setiap kali musim banjir. 

Selain, istana tempat bersemayam sultan, di dalam kota juga dibina tempat tinggal pembesar negeri. Walau bagaimanapun, selepas pemerintahan Sultan Muhammad IV, Istana Balai Besar tidak lagi dijadikan sebagai kediaman oleh Sultan-sultan Kelantan.

Bagaimanapun, Istana Balai Besar masih lagi berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan upacara rasmi dan adat istiadat diraja seperti majlis pertabalan dan penganugerahan darjah kebesaran pada hari keputeraan.

Kedudukan Istana Balai Besar di tengah-tengah bandar Kota Bharu masih gah dan seni bina asal masih dikekalkan. Istana Balai Besar menjadi lambang warisan kebudayaan bangsa yang sangat bernilai.

No comments:

Post a Comment