Saturday 19 October 2019

SYARAT FESYEN MESTI TUTUP AURAT


Islam menetapkan peraturan dalam soal berpakaian. Tuntutan berpakaian untuk tujuan menutup aurat adalah satu kemestian sama ada lelaki atau perempuan. Cara berpakaian adalah menentukan tahap keimanan. 

Namun begitu, Islam tidak menetapkan fesyen pakaian yang mesti dipakai oleh setiap orang Islam. Islam membenarkan apapun fesyen pakaian asalkan menepati syarat menutup aurat.

Sebenarnya, setiap bangsa memiliki fesyen pakaian yang menepati cita rasa setempat. Umat Islam tentunya tidak dapat lari daripada hambatan fesyen pakaian yang sentiasa berubah. Ia mempunyai hubung kait dengan cuaca, aktiviti seharian dan cara hidup.

Biarpun pakaian dihasilkan dengan kebijaksanaan dan kemahuan manusia, hakikatnya pakaian ‘diturunkan’ oleh Allah kepada manusia. Kewajipan berkaitan berpakaian datangnya daripada Allah yang mengarahkan supaya lelaki dan perempuan beriman menutup aurat. 

Allah yang melahirkan keinginan dalam diri manusia inginkan kepada pakaian. Keperluan hidup pertama yang dicipta oleh Adam dan Hawa ketika diturunkan di dunia ini ialah pakaian, biarpun sekadar diperbuat daripada kulit kayu, daun, dan kulit binatang. 

Mendedahkan aurat adalah perbuatan memalukan. Sesiapa yang tidak malu mendedahkan aurat boleh diumpamakan seperti haiwan yang sememangnya tidak ada perasaan untuk berpakaian.

Batasan aurat dalam Islam amat ketat, terutama bagi perempuan. Bagi golongan perempuan, aurat adalah seluruh anggota badan, kecuali bahagian muka dan kedua tapak tangan.

Peraturan ketat terhadap perempuan berkaitan pakaian bukan bertujuan menyusahkan atau menyekat kebebasan kaum perempuan. Islam tidak mengamalkan diskriminasi antara lelaki dan perempuan, melainkan keperluan tabie yang membezakan antara kedua jantina ini.      

Sebenarnya, perhatian ketat mengenai fesyen pakaian perempuan itu bertujuan untuk menjauhkan keadaan fitnah dan keburukan sama ada datangnya daripada golongan lelaki atau perempuan.

Islam meletakkan perempuan pada kedudukan terbaik dan menyediakan satu rangka cara hidup yang paling lengkap dan sempurna. Peraturan ketat adalah untuk melindungi maruah dan keselamatan perempuan yang sering terdedah kepada gangguan lelaki tidak sopan. 

Hal ini jauh berbeza dengan gerakan menuntut hak kesamarataan yang dianjurkan perempuan Barat yang lebih mendatangkan kemudaratan kepada wanita. Perempuan Barat ingin menentukan sendiri apa yang ingin dipakai dan dilakukan. 

Fesyen mendedahkan aurat yang digilai banyak perempuan sekarang adalah akibat terpengaruh dengan hasil fesyen bukan Islam. Di Barat para pereka fesyen telah berjaya mengeksplotasi badan perempuan sebagai objek dagangan. 

Fesyen mendedah aurat paling laris di pasaran. Pengaruh inilah turut ditiru di kalangan perempuan Islam. Sepatutnya perempuan Islam perlu lebih sensitif dengan perkembangan yang membawa keburukan itu. Apa yang datang dari Barat tidak semuanya baik.    

Fesyen mendedah aurat tidak mematuhi etika berpakaian kerana tidak ‘lengkap’.  Mendedahkan aurat samalah tidak berpakaian. Aurat adalah sesuatu yang perlu dirahsiakan kepada pandangan umum.  

Sekarang banyak perempuan yang menutup aurat separuh-separuh kerana mengikut fesyen. Contohnya, banyak perempuan kini bertudung, tetapi fesyen tudungnya menampakkan sebahagian rambut, bahagian dada dan leher yang terdedah.  

Tidak kurang juga yang bertudung, tetapi memakai baju lengan pendek, ketat, atau jarang. Ada pula yang memakai baju kurung longgar, lengan panjang dan kain tebal, tetapi tidak pula bertudung.

Penerapan fesyen perempuan yang sempurna mengikut kehendak Islam perlu diusahakan di kalangan masyarakat kita. Kita memerlukan lebih banyak pereka fesyen Islam dan kedai-kedai pakaian yang menjual pakaian memenuhi keperluan perempuan Islam. 

Majalah dan rancangan televisyen yang memperkenalkan busana wanita Islam juga perlu ditambah. Ini memudahkan perempuan Islam membuat pilihan fesyen yang menepati kehendak Islam yang sesuai untuk mereka. 

No comments:

Post a Comment