Wednesday 15 January 2020

KISAH YAHUDI PELUK ISLAM


Macam-macam cara Allah membuka hidayah kepada hamba-Nya untuk menerima Islam. Salah satu caranya dengan menunjukkan bukti keagungan al-Quran.

Imam al-Qurtubi membawa sebuah kisah hebat yang berlaku pada zaman Khalifah al-Mamun daripada kerajaan Bani Abbasiyah berkaitan keagungan al-Quran yang membawa kepada pengislaman seorang Yahudi.

Khalifah al-Mamun selalu mengadakan majlis perbincangan pelbagai isu dengan rakyatnya. Pada suatu hari seorang lelaki Yahudi yang segak mewangi lagi penuh wibawa menyertai majlis tersebut. Cakap lelaki Yahudi ini juga penuh bijaksana dan mempesonakan semua yang hadir.

Setelah selesai majlis, Khalifah al-Mamun bertanya agama anutannya. Lelaki itu menyatakan dia beragama Yahudi. Al-Mamun mencadangkan agar dia memeluk Islam dan menjanjikan jawatan yang sesuai dengan kewibawaannya. Lelaki Yahudi itu menolak.

Selepas setahun, lelaki Yahudi itu memeluk Islam dan bertemu kembali dengan Khalifah al-Mamun. Bicaranya tentang ilmu fikah sungguh mempesona dan penuh wibawa. Khalifah agak terkejut dan bertanya apa rahsia pengislamannya.

Lelaki Yahudi itu lantas menceritakan: “Setelah aku keluar dari majlismu (wahai Khalifah) aku berhasrat menguji agama ini (Yahudi, Nasrani dan Islam). Aku pula memiliki tulisan tangan yang sungguh cantik sebagaimana yang kamu ketahui dan saksikan.

Aku menyalin kitab Taurat dalam tiga salinan berasingan dan pada ketiga salinan itu aku tambah dan kurangkan isi asalnya. Selepas itu aku jual ketiga salinan kitab Taurat itu kepada rumah ibadat Yahudi. Mereka membeli ketiga salinan tersebut (tanpa soal).”

“Selepas itu aku lakukan perkara sama kepada kitab Injil. Ia juga diterima oleh pihak gereja tanpa soal.

Kemudian aku tulis pula 3 salinan surah al-Quran bersama penambahan dan pengurangan serta cuba menjualnya kepada seorang tukang kertas (pencetak) untuk dicetak.

Setelah melihat salinan al-Quran itu mengandungi penambahan serta pengurangan, dia lantas mencampaknya jauh dan enggan membelinya.”

“Selepas peristiwa itu, aku sedar bahawa kitab ini (al-Quran) memang terjaga (daripada sebarang perubahan atau pengurangan). Itulah peristiwa yang membawa kepada pengislamanku.” (Tafsir al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 9 surah al-Hijr).

Maha Suci Allah! Hebat sekali cara Allah menjaga kitab-Nya ini. Sungguh beruntung orang Islam yang berbangga, mendalami dan mengamalkan kitab yang sungguh istimewa ini. 

Jika kita masih jauh daripada kitab ini, berubahlah segera dan jangan hanya tahu berbangga dengan sesuatu yang jarang kita sentuh. Semoga Allah merahmati kita semua dengan iman yang sebenar kepada al-Quran.

No comments:

Post a Comment