Wednesday 10 February 2021

JALAN ROSAK BERLUBANG BAHAYAKAN PENGGUNA

Jalan berlubang memang menyusahkan pengguna jalan raya. Paling geram, kereta dan motosikal boleh rosak teruk dibuatnya. Kalau nasib tidak baik, boleh belaku kemalangan yang mengorbankan nyawa.

Masalah jalan berlubang kerap berlaku pada musim hujan. Pada musim panas juga tidak terkecuali berlaku kerosakan jalan, tetapi kadarnya tidak seteruk musim hujan.

Kerosakan berpunca daripada jumlah kenderaan tinggi yang melalui jalan berkenaan selain kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan.

Satu masalah besar berkaitan penyelengaraan jalan ialah berkaitan kos yang kian meningkat. Beberapa isu yang menjadi kebimbangan apabila peruntukan tidak cukup untuk program kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negara sama ada jalan persekutuan mahupun jalan negeri tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Kegagalan memenuhi jadual penyelenggaraan atau membaik pulih jalan-jalan menjejaskan prestasi sehingga kepada kegagalan struktur jalan raya yang sekali gus boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

Malah apabila terlalu lama ditangguh, ada kemungkinan kos penyelenggaraan jalan raya menjadi tidak lestari atau terlalu mahal pada masa depan. Prestasi jalan di seluruh negara ketika ini kurang memberangsangkan.

Penyelenggaraan berjadual sangat penting terutama jalan yang sudah tiba had tempoh untuk diturap atau dibina semula.

Rekahan jalan antara masalah sering berlaku pada jalan. Rekahan jalan biasanya bermula dengan keretakan kecil sebelum ia bertambah dan bersambung antara satu sama lain seakan-akan seperti kulit buaya.

Rekahan panjang ini sering berlaku di bahagian kiri atau kanan lorong. Ini menunjukkan struktur jalan itu lemah dan akhirnya membentuk lubang dan lopak.

Masalah lain adalah permukaan jalan yang melendut. Lazimnya ia terjadi pada laluan mendaki kerana kenderaan berat melaluinya dengan lebih perlahan yang boleh menyebabkan lendutan.

Lendutan juga boleh berlaku di persimpangan akibat kenderaan membrek dan mula bergerak. Permukaan jalan yang mengalami lendutan akan menakung air ketika hujan dan boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Selain itu, kerosakan jalan berlaku apabila batu baur pada permukaan jalan tercabut dan menyebabkannya menjadi kasar.  

Keadaan itu biasanya berlaku pada jalan yang sudah lama diturap menyebabkan bitumen mengeras. Kerosakan sama turut berlaku di lokasi jalan berselekoh.

Apabila bitumen mengeras, daya pengikat di antara bitumen dan batu berkurangan dan akan menyebabkan batu tercabut kerana tolakan sendeng.

Isi padu kenderaan yang tinggi dan kenderaan berat seperti lori dan treler membawa lebih muatan akan mempercepatkan lagi kerosakan berkenaan dan memendekkan jangka hayat jalan.

Penyelenggaraan bagi membaik pulih jalan perlu dilakukan awal bagi mengelak kerosakan menjadi lebih teruk. 

Sesetengah penyelenggaraan membabitkan aspek keselamatan pengguna seperti mengecat kembali garisan di atas jalan bagi membantu pengguna terutama yang memandu pada waktu malam.

No comments:

Post a Comment