Tuesday 11 May 2021

Sabar patuh larangan rentas negeri

Secara tradisi sambutan Aidilfitri disambut bersama ibu bapa dan ahli keluarga. Anak dan ahli keluarga yang tinggal berjauhan akan pulang berhari raya di kampung halaman.

Namun, akibat Covid-19, sudah dua tahun sambutan Aidilfitri tanpa pulang ke kampung atau bersama keluarga tercinta. Ini gara-gara kerajaan melaksanakan sekatan rentas daerah dan negeri untuk menyekat pergerakan bebas rakyat antara daerah dan negeri yang boleh menyebabkan penyebaran virus Covid-19 tanpa kawalan.

Tindakan kerajaan itu tentu sekali tidak disenangi rakyat. Di media maya rata-rata warga maya menyatakan rasa dukacita tidak dapat pulang berhari raya.

Individu dipersalahkan ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi sasaran cemuhan dan cacian warga maya, atas alasan beliau sebagai individu yang mengeluarkan SOP berkaitan Covid-19.

Tidak sepatutnya Ismail Sabri dijadikan sasaran cacian dan makian warga maya. Beliau hanya sebagai jurucakap kepada kerajaan. Keputusan yang dibuat melalui perbincangan yang teliti melibatkan semua pihak yang berkaitan demi untuk kebaikan rakyat.

Dalam apa juga keadaan, kita dianjurkan untuk meningkatkan kesabaran supaya menjadi insan yang diredai Allah SWT dan berada pada darjat tertinggi di sisi-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Perkataan sabar ini besar rahmatnya sehingga disebut paling banyak dalam al-Quran seperti yang dinyatakan ulama tersohor, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi bahawa perkataan sabar itu adalah perkataan akhlak terbanyak dalam al-Quran.

Oleh itu, perlu ada perasaan sabar dalam diri kerana daripada sabarlah kita akan dapat menikmati hikmah dalam kehidupan.

Apa juga yang Allah SWT tentukan, adalah yang terbaik buat kita. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberi apa yang kita mahu, tetapi Allah SWT memberi apa yang kita perlu pada waktu yang tepat.

Sesuatu yang Allah SWT aturkan kepada kita barangkali pahit pada awalnya tetapi penghujungnya akan ada kemanisan kerana ketentuan Allah SWT itu adalah sebaik-baiknya. Sebagai seorang Muslim, kita harus sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan menerapkan sifat mahmudah dan selalu bersyukur dengan kurniaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)

No comments:

Post a Comment